KEADILAN menyasarkan satu
kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.
Pengerusi Majlis Pimpinan
Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Christina Liew berkata sasaran itu adalah
realistik berdasarkan keupayaan parti di kesemua tujuh kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
"Dengan 7 kerusi DUN, kita
boleh menang besar.
"Dalam Pilihan Raya Umum
Ke-14 (PRU-14), kita bertanding 8 kerusi dan menang 2 sahaja tetapi kali ini
kita bertanding 7 kerusi, jadi kalau boleh kita menang semua kerusi yang
dipertandingkan," katanya.
Christina juga mengakui
KEADILAN mahu bertanding lebih banyak kerusi, tetapi menganggap kemenangan
secara bersama dengan gabungan Warisan Plus harus diutamakan.
"Kami sudah ada satu
rancangan dan sudah berapa banyak rundingan dengan parti komponen. Kita juga
ada berbincang dengan presiden, setiausaha agung dan pemimpin tertinggi
KEADILAN.
"Sepatutnya apabila
KEADILAN Sabah mempunyai anggota kedua tertinggi di Malaysia, sudah tentu boleh
dapat kerusi lebih daripada tujuh tetapi PRN Sabah adalah pilihan raya yang
luar biasa.
"Ada 25 parti yang
bertanding jadi peluang untuk menang itu perlu diambil kira dan perancangan
perlu dibuat secara berhati-hati. Jadi kerusi yang dipertandingkan perlu
dimenangi, winnability itu sangat penting.
"Sebab itu bagi mereka
yang mahu bertanding 73 kerusi, semua itu buang masa.
"Kita mesti berkongsi dan
bekerjasama sama seperti DAP, Upko, Warisan dan Amanah," katanya.
Dalam pada itu, Christina yang
juga calon DUN Api-Api mengakui ia satu cabaran baharu apabila pertama kali
berdepan dengan lapan orang pencabar.
"Ini satu cabaran besar,
saya sudah lama bertanding di DUN Api-Api tapi ini pertama kali saya berdepan
lapan calon, tapi bagaimanapun saya yakin dengan kerjasama jentera dan
penyokong saya yakin boleh menang," katanya.