KEADILAN cabar Muhyididn buktikan pendaftaran PN



KEADILAN mencabar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan gabungan Perikatan Nasional (PN) telah didaftarkan sebelum proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 12 September lalu.

 Menurut Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, hal itu sangat penting kerana tanpa pendaftaran yang sah maka pencalonan calon-calon PN adalah terbatal dan tidak layak bertanding sama sekali.

 "Saya merujuk kepada kenyataan Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Saudara Syed Badli Shah Syed Osman berhubung ketiadaan maklumat pendaftaran Perikatan Nasional di dalam rekod di laman sesawang Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

 "Sehubungan itu, saya mencabar Tan Sri Muhyiddin untuk menunjukkan bukti kelulusan pendaftaran PN yang dikeluarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia kepada umum.

 "Seandainya PN masih belum didaftarkan secara rasmi, saya mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan serta merta membatalkan pencalonan semua calon-calon yang bertanding di bawah tiket PN," kata Shamsul dalam satu kenyataan.

 Menurut Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu lagi, sekiranya calon-calon PN dibenarkan bertanding tanpa pendaftaran yang sah maka sistem demokrasi berparlimen Malaysia akan ditertawakan di seluruh dunia.

 Rakyat Sabah juga, katanya, tidak lagi akan memandang tinggi wakil-wakil rakyat di dalam Kerajaan Negeri dan kerajaan Malaysia.

 "Pilihan raya adalah platform penting buat rakyat menggunakan hak mereka sebagai warganegara. Mereka berhak memilih calon dari parti yang sah di sisi undang-undang untuk menjadi wakil, seterusnya membentuk Kerajaan Negeri.

 "Sekiranya calon-calon yang mewakili sebuah pertubuhan haram dibenarkan bertanding, ini merupakan satu penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen di Malaysia dan juga buat rakyat, khususnya warga Sabah," katanya lagi.

 Sebelum ini, Syed Badli telah melakukan semakan di pangkalan data ROS dan tidak menemui nama PN dalam senarai pertubuhan politik yang telah didaftarakan.