Oleh: Mohd Azuan Ab Rahman
Gabungan kerjasama antara Barisan
Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak padu seperti
digembar-gemburkan.
Hal ini terbukti di Sabah apabila
kedua-dua gabungan itu dilihat ada kemahuan sendiri dan sukar beralah. Keadaaan
itu menyebabkan mereka sukar mencapai kata sepakat dalam proses membuat
keputusan berkait beberapa perkara.
Perkara pertama yang dapat dilihat
ketika menjelang proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah
ke-16 semalam.
Berdasar laporan media, kedua-dua
pihak gagal menyelesaikan isu pertindihan kerusi di 11 kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN). Masing-masing mahu meletakkan calon supaya dapat menyaingi satu
sama lain dari kedudukan jumlah kerusi yang boleh dimenangi.
Setiakawan Warisan - PH Plus
Perkara itu sudah tentu tidak berlaku
dalam gabungan Warisan Plus yang terdiri dari Warisan, KEADILAN, DAP, Amanah
dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).
Dengan semangat setiakawan dan
pengalaman sebelum ini, mereka terlebih dahulu memuktamadkan proses pengagihan
kerusi dengan baik. Tidak ada mana-mana parti gabungan dalam Warisan Plus tidak
diberi ruang untuk bertanding.
Langkah bijak oleh Warisan Plus itu
bukan sahaja dapat memastikan tidak berlaku pertindahan kerusi yang menyebabkan
rasa tidak puas hati sesama penyokong. Lebih penting, ia sedikit sebanyak dapat
membangkitkan rasa yakin di kalangan rakyat Sabah bahawa Warisan Plus merupakan
gabungan yang terbaik untuk mentadbir negeri.
Seballiknya BN dan PN serta sekutu
mereka dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)
dilihat saling berebut kerusi.
Malah lebih malang rakan kerjasama
mereka, Pas yang sebelum ini mensasarkan 10 kerusi untuk ditandingi langsung
tidak diberi peluang meletakkan calon bagi menunjukkan kekuatan mereka.
Bukan setakat itu, ada laporan
menyatakan Pas tidak dijemput pada satu program penting yang diadakan rakan
mereka di Sabah baru-baru ini.
Di kalangan penyokong parti itu
sendiri, mungkin mereka tertanya-tanya apakah begitu caranya PN dan BN melayan
rakan gabungan?
Muhyiddin gagal selesai masalah
Sebagai perdana menteri, sudah tentu
tanggungjawab berat diletakkan kepada Muhyiddin Yassin. Bagi meredakan isu
pengagihan kerusi, Muhyiddin Yassin yang merupakan pengerusi PN dilapor terbang
ke Kota Kinabalu bagi meredakan keadaan.
Langkah itu penting supaya imej
Muhyiddin tidak tercalar. Namun perbincangan lebih 90 minit bersama lebih 20
pemimpin BN, PN dan PBS di sebuah hotel di Kota Kinabalu sebelum penamaan calon
berkesudahan dengan kegagalan.
Walaupun Pengerusi Umno, Dr Zahid
Hamidi memberi gambaran keadaan baik-baik belaka namun kenyataan pemimpin PBS
dan PBRS adalah sebaliknya.
Timbalan Presiden PBS Radin Malleh
dipetik berkata bahawa partinya tegas menuntut 15 kerusi DUN dan tidak mahu
menarik calon mereka.
"Sangat tidak mungkin (menarik
diri) kerana itu adalah kerusi kami... Pada PRU lalu" kata Timbalan
Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup pula.
Cari penyakit singkir Rahman,
Musa
Isu pengangihan kerusi tidak terhenti
setakat itu, ketiadaan beberapa nama pemimpin 'heavy weight' BN dalam PRN kali
ini mencetuskan tanda tanya dalam kalangan penyokong mereka sendiri. Antara
yang tidak dicalonkan ialah Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan.
Tidak dapat dipastikan apakah
ketiadaan nama Rahman mempunyai hubung kait dengan kritikannya terhadap
pelantikan Bung Mokhtar Radin sebagai pengarah PRN Sabah.
Rahman dalam satu sidang media
sebelum ini menyifatkan pelantikan Bung sebagai pengarah pilihan raya BN adalah
usaha 'menghina' autonomi negeri dan rakyat Sabah. Ia tegasnya adalah tindakan
'membunuh diri'.
"Meletakkan seorang yang
mempunyai masalah peribadi untuk menerajui jentera PRU adalah satu penghinaan
kepada rakyat Sabah.
"Tak ada cara lain mengatakan
ini dan saya mahu berterus terang," kata ketua Umno Bahagian Tuaran itu
dalam satu sidang media pada 19 Ogos lalu.
Sidang media Rahman itu turut
dihadiri pemimpin Umno Sabah dari bahagian Putatan, Penampang, Keningau,
Beluran, Ranau, Pensiangan, Kota Kinabalu, Kota Belud, Kota Marudu, Batu Sapi
dan Sandakan. Lebih mengejutkan bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman juga tidak
dinamakan sebagai calon dan menimbulkan bantahan dalam Umno Sabah.
Penyokong Musa kecewa
Musa yang memulakan langkah untuk
mengambil pentadbiran negeri dari Shafie Apdal sebelum ini memberi bayangan
akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) N51 Sungai Manila.
Susulan ketiadaan nama pemimpin
berpengaruh itu lebih 20 ketua cawangan Umno tampil mengadakan protes. Mereka
dari empat daerah pengundian menolak calon Mokran Ingkat dan menggesa supaya
Musa diberikan ruang bertanding di kawasan itu. Namun sehingga tamat proses
penamaan calon kelibat Musa Aman tidak kelihatan.
Bung Mokhtar ketika ditanya mengenai
ketiadaan nama Musa memberi alasan bahawa bekas ADUN Sibunga itu tidak meminta
kerusi berkenaan.
PN, BN bergaduh manifesto
Dalam perkembangan berkaitan,
walaupun semua parti dilapor bersetuju menggunakan manifesto sama, keadaan
sebaliknya berlaku.
Kenyataan dan tindakan beberapa parti
tempatan menggambarkan mereka kurang berminat kepada manifesto PN-BN yang akan
diumumkan Zahid Hamidi pada Hari Malaysia yang jatuh pada hari kelima kempen.
PBS difahamkan telah melancarkan
manifestonya sendiri yang antara lainnya menjanjikan undang-undang untuk
mencegah wakil rakyat berpaling tadah (melompat parti). Mereka berkata akan
memeriksa kandungan dokumen 'Aku Janji' tersebut sebelum bersedia menyokongnya.
Calon Ketua Menteri tidak jelas
Kurangnya perancangan dan kesefahaman
di antara BN-PN dan rakan gabungan mereka berkecamuk selepas penamaan calon
berakhir. Muhyiddin terlebih dahulu cuba menamakan orang kepercayaannya di
Sabah, Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri sekiranya mereka dapat merampas
negeri dari Warisan Plus.
“Mana nak tahu, kalau rakan-rakan
kita di PN, BN pun bersetuju, yang terbaik nak kita tawarkan sebagai calon
untuk meminpin negeri Sabah, tidak lain tidak ialah Hajiji," kata
Muhyiddin.
Tidak lama selepas cadangan Presiden
Bersatu itu disiar media, Presiden Umno, Zahid Hamidi tampil dengan kenyataan
seolah-olah menempelak idea mengangkat Hajiji sebagai Ketua Menteri.
Pengerusi BN itu menegaskan bahawa
Barisan Nasional akan memutuskan siapa di kalangan mereka yang layak dilantik.
“Ketua Menteri Sabah hanya akan
dipilih oleh Adun BN dan rakan kongsi politik apabila cukup bilangan kerusi
bagi pembentukan kerajaan negeri yang baharu,” ciapnya di Twitter.
Cadangan Muhyiddin itu turut dikritik
beberapa pemimpin muda Umno. Ketua penerangannya, Shahril Sufian Hamdan juga
berkata bahawa keputusan tersebut tidak pernah disepakati PN-BN dan rakan
sekutu mereka.
“Tidak dibincang dengan BN,” katanya
dalam hantaran di Facebook.
Sementara seorang lagi pemimpin parti
itu, Armand Azha mengingatkan perdana menteri dari Bersatu itu bahawa menjadi
tradisi untuk parti yang mempunyai kemenangan kerusi terbanyak diberikan
keutamaan dalam mencadangkan nama bakal ketua menteri.
Berbanding gabungan rapuh PN-BN,
Warisan Plus tetap menyatakan kesetiaan kepada Shafie Apdal sebagai calon Ketua
Menteri mereka.
Rakyat melihat mereka bukan mahu
merebut kuasa, sebaliknya mempertahankan mandat yang diberi kepada Kerajaan
Negeri pimpinan Shafie yang cuba dijatuhkan sebelum ini supaya pentadbiran
negeri terus lancar.
_________________________________________________________________________________
Tulisan ini merupakan pandangan
peribadi penulis dan tidak mewakili pandangan rasmi Suara Keadilan