Di sebalik sisi negatif penganalisis politik, PH masih disokong rakyat




Teori penganalisis politik kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu menang selesa Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 jika dilakukan secara mengejut pada tahun ini selepas BN menang besar dalam Pilihan Raya Kecil DUN Sim tidak sepenuhnya benar.

Bagi Naib Pengerusi DAP Selangor, Ng Suee Lim, populariti PN tidak menyeluruh di semua kawasan. Katanya terdapat kawasan yang ditinjau, rakyat masih meletakkan kepercayaan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memerintah dan mengambilalih kerajaan Persekutuan.

"Walaupun media arus perdana sedang kuat mengheboh-hebohkan apa yang boleh dilabelkan sebagai kekuatan Kerajaan PN, sembang-bual dengan pelbagai lapisan masyarakat mendapati koalisi PH juga mempunyai kekuatannya dan cabaran dari kami tidak boleh diremeh-temehkan," katanya dipetik.

Menurut Ng, bukan semua rakyat melihat kerajaan PN dengan penilaian positif. Banyak rakyat meragui arah tuju ekonomi negara pasca pandemik Covid 19.

Rakyat yang hilang pekerjaan, katanya, lebih mempercayai ketokohan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memulihkan ekonomi. Begitu juga golongan B40 yang kian terdesak akibat kos kehidupan semakin melambung.

"Orang ramai yang bersembang-bual dengan saya telah memberitahu mereka yakin PH mampu mengurus-tadbir dengan lebih baik jika diberi mandat sekali lagi, sebab untuk kali ini kata mereka, tiada lagi isu tarikh peralihan kuasa," katanya.

Oleh yang demikian, menurut Ng lagi, PH mestilah bersiap sedia berkempen isu-isu ekonomi sekiranya berlaku PRU dalam masa terdekat.

Katanya, rakyat mengharapkan ekonomi distruktur semula dan tumpuan utama harus diberikan kepada usaha mewujudkan pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Baru-baru ini, beberapa agensi tinjauan pendapat mendapati PH ketinggalan 10 - 20% sokongan berbanding PN sekiranya PRU diadakan dalam tempoh terdekat.

Namun keadaan yang sama juga berlaku dalam tinjauan sebelum PRU 14 lalu, di mana hanya Ilham Centre yang percaya PH akan menang, agensi lainnya memberi keyakinan kemenangan BN dengan memuji gaya kempen yang dilakukan PM Najib Razak.


No comments: