Teori
penganalisis politik kononnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mampu menang
selesa Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 jika dilakukan secara mengejut pada tahun
ini selepas BN menang besar dalam Pilihan Raya Kecil DUN Sim tidak sepenuhnya
benar.
Bagi Naib Pengerusi
DAP Selangor, Ng Suee Lim, populariti PN tidak menyeluruh di semua kawasan.
Katanya terdapat kawasan yang ditinjau, rakyat masih meletakkan kepercayaan
kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memerintah dan mengambilalih kerajaan
Persekutuan.
"Walaupun
media arus perdana sedang kuat mengheboh-hebohkan apa yang boleh dilabelkan
sebagai kekuatan Kerajaan PN, sembang-bual dengan pelbagai lapisan masyarakat
mendapati koalisi PH juga mempunyai kekuatannya dan cabaran dari kami tidak
boleh diremeh-temehkan," katanya dipetik.
Menurut
Ng, bukan semua rakyat melihat kerajaan PN dengan penilaian positif. Banyak
rakyat meragui arah tuju ekonomi negara pasca pandemik Covid 19.
Rakyat
yang hilang pekerjaan, katanya, lebih mempercayai ketokohan Presiden KEADILAN
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memulihkan ekonomi. Begitu juga golongan B40
yang kian terdesak akibat kos kehidupan semakin melambung.
"Orang
ramai yang bersembang-bual dengan saya telah memberitahu mereka yakin PH mampu
mengurus-tadbir dengan lebih baik jika diberi mandat sekali lagi, sebab untuk
kali ini kata mereka, tiada lagi isu tarikh peralihan kuasa," katanya.
Oleh yang
demikian, menurut Ng lagi, PH mestilah bersiap sedia berkempen isu-isu ekonomi
sekiranya berlaku PRU dalam masa terdekat.
Katanya,
rakyat mengharapkan ekonomi distruktur semula dan tumpuan utama harus diberikan
kepada usaha mewujudkan pekerjaan untuk rakyat tempatan.
Baru-baru
ini, beberapa agensi tinjauan pendapat mendapati PH ketinggalan 10 - 20%
sokongan berbanding PN sekiranya PRU diadakan dalam tempoh terdekat.
Namun keadaan yang sama juga berlaku
dalam tinjauan sebelum PRU 14 lalu, di mana hanya Ilham Centre yang percaya PH
akan menang, agensi lainnya memberi keyakinan kemenangan BN dengan memuji gaya
kempen yang dilakukan PM Najib Razak.