Kesukaran
seorang mahasiswa Universiti Malaysia Sabah, Vevenoah Mosibin mengharungi
peperiksaan secara on line dengan memanjat pokok bagi mendapatkan akses
internet amat tidak wajar diperlekehkan.
Bekas
Timbalan Menteri Pertanian, Sim Tze Tzin berkata, beliau pernah ke daerah
pedalaman Sabah seperti Pitas dan sedih mendapati keadaan penduduk di sana
begitu daif berbanding di Semenanjung.
Katanya,
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin
tidak akan menuduh mahasiswa tersebut berbohong sekiranya beliau pernah melawat
ke kawasan pedalaman di Sabah.
"Kita
orang Semenanjung tidak faham keadaan hidup rakan-rakan di Sabah. Kerana
majoriti rakyat Malaysia tidak pernah ke Pitas, Sabah dan tidak memahami
keadaan di sana. Mungkin termasuk YB Zabidi.
"Keadaan
sebenar Pitas sangat menyedihkan. Saya pernah lawati perkampungan nelayan di
situ pada Jun 2019. Saya amat sedih tengok anak-anak nelayan menggunakan titi
yang usang ke sekolah setiap hari," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menurut
Sim, kesukaran itu mendorong beliau berinisiatif mengeluarkan peruntukan untuk
menggantikan titi usang yang tidak diendahkan oleh wakil rakyat BN sebelum ini,
dengan titi yang baharu.
Oleh itu,
Sim menyeru agar menteri Perikatan Nasional lebih prihatin dan bersikap
'pemurah' berbanding menghukum tanpa melakukan penyiasatan terlebih dahulu.
"Jadi
janganlah Timbalan Menteri perlekehkan orang Sabah, terutamanya pelajar dari
kawasan susah. Bantulah mereka. Berbaktilah kepada mereka. Kamu sudah ada
kuasa, ada peruntukan. Buatlah sesuatu kepada kawasan Pitas.
"Kita
semua rakyat Malaysia, seharusnya faham-memahami dan bantu-membantu,"
katanya lagi.
Untuk
rekod, semasa Sim menjadi timbalan menteri beliau memperuntukan lebih kurang
RM80,000 bagi membaiki sebuah titi usang untuk membantu penduduk di sana.
Hari ini
projek tersebut telah siap dan kanak-kanak di Pitas amat menghargai
sumbangannya.