SELEPAS JADI TUA, SYED SADDIQ NAK PERGI KE MANA....



Keputusan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menubuhkan sebuah parti baru khusus untuk anak-anak muda sekurang-kurangnya ada dua kebaikan daripadanya.
Pertama, parti baru itu memberi galakan dan menyediakan ruang lebih terbuka untuk anak-anak muda menceburi politik, seterusnya akan melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis untuk negara.
Berbanding parti lain yang semuanya dipimpin oleh golongan tua dan pertengahan usia, parti anak muda ini ini sebaliknya memberi ruang tanpa had untuk anak-anak muda menonjolkan bakat kepimpinan mereka.
Kedua, dengan menubuhkan parti anak muda ini menunjukkan Syed Saddiq ada keberanian memisahkan dirinya daripada bayangan Tun Mahathir Mohamad yang dianggap banyak pihak sebagai sifu politiknya selama ini.
Dengan keberanian itu, Syed Saddiq memperlihatkan dirinya ingin pergi jauh dalam dunia politik dan membina nama tersendiri selepas ini tanpa mengharapkan ada apa-apa naungan melindunginya.
Dalam soal ini, dakwaan bahawa parti anak muda ini hanya menambahkan lagi perpecahan dalam masyarakat sebenarnya tidak timbul sama sekali.
Kalau mahu dikira, parti yang menjual perjuangan atas nama bangsa dan agama jauh lebih membawa perpecahan dalam masyarakat.
Sebaliknya, parti anak muda ini hanya menyediakan ruang sewajarnya untuk anak-anak muda menceburi dunia politik dan melatih diri mereka untuk menjadi pemimpin.
Dalam keadaan itu, sudah tentu ibu bapa dan golongan tua serta pertengahan juga mengalu-alukan kewujudan parti anak muda tersebut di mana di dalam parti lain ruang yang sama tidak dapat diwujudkan.
Cuma, yang menjadi persoalan dalam parti anak muda ini ialah berapakah had usia untuk menyertai dan menjadi pemimpinnya?
Adakah hadnya pada usia 35 atau 40 tahun?
Katalah usia yang dihadkan hanya sehingga usia 40 tahun, maka jika Syed Saddiq menjadi presidennya, bermakna apabila mencapai usia tersebut, beliau mesti berundur dan melepaskan jawatan peneraju parti kepada penggantinya yang lebih muda.
Persoalannya, ke mana Syed Saddiq mahu pergi selepas itu?
Apakah beliau bakal menubuhkan parti lain pula atau akan menyertai UMNO, PKR, Pas atau DAP untuk meneruskan perjuangannya?
Katalah juga ketika memimpin parti anak muda itu beliau bergabung dengan pelbagai parti lain untuk membentuk kerajaan dan dilantik sebagai menteri atas kapasitinya menerajui parti anak muda tersebut, apabila usianya sudah sampai 40 tahun di mana perlu untuk melepaskan jawatan sebagai presiden parti, apakah Syed Saddiq juga sedia melepaskan jawatan menterinya untuk diserahkan kepada presiden parti anak muda yang baru?
Dalam usia 40 tahun di mana ketika itu dalam lingkungan umur paling sedap untuk bergelar pemimpin dan menjadi menteri, apakah Syed Saddiq sedia berundur begitu saja dan melepaskan nikmat dunia kepada orang lain?
Atau mungkinkah ketika itu perlembagaan akan dipinda untuk membolehkan presiden boleh terus mengetuai parti anak muda walaupun sudah menjadi tua? (Shahbudindotcom 05/09/2020)

No comments: