Langgar undang-undang tidak menyalahi kod moral Pas?
Pelanggaran perintah kuarantin wajib selama 14 hari oleh menteri PAS tidak termasuk kod etika moral parti itu.
Bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin, berkata PAS mempunyai versi moral “suci” yang tersendiri.
“Berdasarkan kenyataannya presiden PAS yang menyamakan pelanggaran moral dengan penafsiran yang sangat ketat iaitu pelanggaran tingkah laku moral.
“Pelanggaran kuarantin nampaknya terlepas dari versi pelanggaran kod moral PAS,” katanya dipetik.
Pada 1 Sept lalu, PAS menegaskan parti itu sangat mementingkan isu moral dan maksiat dalam kalangan pemimpin serta anggota partinya.
Jika didapati ada antara mereka melakukan kesalahan membabitkan moral atau dosa, maka tindakan tegas termasuk pecat akan diambil, kata presidennya Abdul Hadi Awang.
“Yang penting moral dulu… kalau buat sesuatu maksiat yang bercanggah dengan lslam dan moral, kita pecat dia,” katanya kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Abdul Hadi sebelum itu menghadiri Konvensyen Setengah Tahun Perikatan Nasional (PN) dan ditanya mengenai isu kegagalan salah seorang pemimpin PAS, Dr Khairuddin Aman Razali, mematuh prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Ahli Parlimen Kuala Nerus yang dilantik menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu didapati gagal melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari selepas pulang dari Turki.
Dia tiba di negara ini pada 7 Julai dan hadir di Dewan Rakyat kurang dari tujuh hari kemudian. Walaupun memberikan beberapa alasan sebelum itu Khairuddin kemudian mengakui kesalahan tersebut dan menawarkan gajinya sebagai menteri selama empat bulan untuk disumbangkan kepada tabung Covid-19.
Dia juga dikompaun maksimum RM1,000. Polis pula sudah mengambil keterangan Khairuddin dan beberapa anggota keluarganya yang bersama mengikut kunjungan ke Turki itu.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, pula mempertahankan Khairuddin dengan mengaitkannya dengan salah satu kisah dalam al-Quran membabitkan kejadian burung hudhud pada zaman Nabi Sulaiman.
Dalam pada itu, Mohamed Hanipa berkata maka tidak hairanlah jika parti itu menyokong kerajaan pintu belakang yang tidak bermoral.
“Ya, rakyat biasa yang kerajaan perintah menjalani kuarantin dengan sewajarnya dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM 12,000 dan hukuman penjara 5 tahun oleh majistret di hospital (merujuk kepada pencetus ‘kluster Sivagangga).
“Bagaimana dengan menteri dari PAS? Adakah dia diperlakukan dengan cara yang sama? Jawapannya adalah tidak. Dia didenda sebanyak RM 1000 dan denda itu terlalu sedikit,” katanya.
Menurut Hanipa, tidak pernah lagi dalam sejarah sistem perundangan hukum dikenakan terlebih dulu sebelum penyiasatan selesai.
Selain memiliki kod moral yang tersendiri, dua pemimpin PAS iaitu mursyidul am dan timbalan presidennya begitu bersungguh-sungguh mempertahankan menteri berkenaan.
Tidak sekadar menyifatkan ia bukan satu kesalahan besar, bahkan pemimpin PAS berkenaan telah menyalahkan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam isu berkenaan.