Pengakuan yang dibuat oleh Pengerusi
Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said baru-baru ini bahawa tidak berlaku
kerjasama antara kepimpinan Pas dan Umno di Terengganu menggugat Muafakat
Nasional (MN) di negeri itu.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri
KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, masalah dalam MN di negeri kaya petroleum
berkenaan 'ibarat retak menanti belah'
Katanya, Umno dan Pas sangat sukar
untuk bekerjasama kerana permusuhan sejak 1980an lalu akibat Amanat Hj Hadi
yang mengkafirkan orang Umno.
Sejak itu, katanya, Umno sentiasa
melihat Pas dengan penuh curiga dan begitu juga sebaliknya bagi orang Pas
sebarang urusan dengan penyokong Umno sukar diterima.
"Apa yang disebut oleh Datuk
Seri Ahmad Said adalah manifestasi keadaan sebenar di akar umbi secara
menyeluruh di Terengganu. Sejarah perbalahan Pas dan Umno ini memakan masa
beberapa dekad. Pernah berlaku solat Jumaat diadakan dua kali kerana imam yang
berbeza politik, malah berlaku penceraian sebab politik dan banyak lagi yang
tidak selesai sampai sekarang.
"Kisah isu kerjasama antara Pas
dan Umno ini kelihatan cantik di peringkat pusat, yang dirangka oleh Presiden
Pas sendiri. Sedangkan dahulu dia juga yang menanamkan doktrin menolak Umno
bukan kerana politik, tetapi Umno ini kafir dan tidak boleh diterima.
"Kesilapan ini dilakukan oleh
Pas kerana mereka menggunakan agama untuk meraih sokongan politik. Akhirnya
perkara ini tertanam begitu teguh dalam kehidupan harian masyarakat luar
bandar, terutamanya Melayu di Terengganu," kata Azan ketika dihubungi
Suara Keadilan.
Menurut Azan, masalah peringkat akar
umbi Pas dan Umno di Terengganu tidak mungkin boleh diselesaikan dalam beberapa
tahun. Jika ditekan oleh pimpinan atasan sekali pun, katanya berkemungkinan
ahli bawahan akan mengambil tindakan bertentangan, terutama pada waktu pilihan
raya dan hari mengundi.
Beliau turut tidak menolak akan
berlaku sabotaj dalam kedua-dua parti sekiranya keputusan pihak atasan tidak
sejalan dengan kehendak ahli bawahan
Mengulas percubaan Bersatu untuk meletak
calon pula, bagi Azan, masalah itu seperti menuang petrol kepada api yang
sedang menyala. Selain, kerusi Umno tidak begitu banyak yang sanggup
dikorbankan oleh Pas, beberapa DUN pula akan terpaksa diberi kepada calon yang
pernah berkhianat kepada Umno pada suatu ketika.
"Bersatu ini parti serpihan dan
tak ramai ahli dalam parti itu. Ahli Umno yang keluar pun tak ramai, di
Terengganu Umno gelarkan Bersatu parti nyamuk, mereka tidak boleh duduk semeja
malah benci membenci.
"Hal ini kerana ahli-ahli Umno
yang keluar parti ini dulu pegang jawatan kecil sahaja tetapi bila sertai
Bersatu ada yang diangkat sebagai Pengerusi GLC (dalam Kerajaan Persekutuan)
dan diberi jawatan yang besar. Ini menjadikan cemburu Umno pada Bersatu memuncak
dan mustahil untuk bekerjasama serta akan diberi kerusi oleh Umno
"Saya anggap Bersatu akan alami
nasib agak menyedihkan dalam pilihan raya akan datang dari segi pengagihan
kerusi yang mana Pas tak akan beri apa-apa kerusi dan Umno juga tidak akan
bertolak ansur untuk beri apa-apa kerusi," kata Azan lagi.
Untuk rekod, sebelum ini perselisihan kerusi agak meruncing
apabila Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Samsuri membayangkan Pas akan
mengekalkan kedudukan di 6 kerusi parlimen dan meninggalkan Umno hanya 2 kerusi
untuk ditandingi. Sekiranya Bersatu ingin mencelah maka mungkin Umno akan
bertanding hanya 1 kerusi.