600 ahli Bersatu Telok Kemang, PD sertai PKR
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menerima penghijrahan sebanyak 600 ahli Bersatu Cawangan Teluk Kemang, Port Dickson yang diketuai Ibrahim Khan Amanulla Khan.
Turut meninggalkan Bersatu dalam majlis pengumuman yang yang diadakan di pusat peranginan Tasik Villa International Resort itu adalah Ketua Pemuda dan Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Port Dickson, Bendahari dan Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu Cawangan Telok Kemang serta AJK cawangan.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan penyertaan bekas ahli Bersatu tersebut ke dalam KEADILAN. Beliau mengucapkan terima kasih kerana menerima KEADILAN sebagai wadah baharu politik selepas Bersatu memilih mengkhianati Pakatan Harapan.
“Saya dimaklumkan oleh wakil (yang keluar parti) saudara Ibrahim Khan Amanulla Khan, langkah keluar Bersatu itu susulan kecewa dengan perjuangan parti yang mengkhianati mandat rakyat, selain hilang kepercayaan kepada pucuk kepemimpinan.
“Saya mengalu-alukan penyertaan mereka serta mana-mana pihak yang ingin bersama dalam perjuangan memartabatkan hak rakyat berbilang kaum dan agenda reformasi,” katanya.
Dalam ucapan di bilik seminar Tasik Villa International Resort itu, Anwar menegaskan perlunya para pencinta keadilan merobah sistem pemerintahan di negara ini secara total.
Menurutnya, tidak ada makna perayaan merdeka yang disambut saban tahun sekiranya hanya mengganti penjajah. Daripada dijajah Barat kepada dijajah bangsa sendiri.
“Tolak Inggeris untuk apa, untuk kita perintah. Siapa kita, peribumi Melayu. Apa ganti orang Inggeris dengan Melayu cukup, perangai sama, zalim sama. Tentulah tidak.
“Kita nak ganti. Kalau dulu rasuah, kita tolak rasuah. Kalau dulu zalim, sekarang tidak. Supaya kemerdekaan itu menjamin kesaksamaan kepada rakyat,” katanya.
Justeru, Anwar menolak retorik pemimpin Melayu yang mendakwa kononnyakaum itu diutamakan, namun praktiknya ahli politik korup mengutamakan suku sakat sendiri untuk diperkayakan.
“Orang cakap untuk Melayu. Melayu mana, anak kamu, kroni kamu yang dapat juta-juta. Rakyat tak siapa peduli. Saya rayu kepada saudara untuk turun ke bawah terangkan, kalau nak berubah kita sendiri lakukan perubahan.
“Jangan fikir sokong Anwar dapat projek. Itu fikiran lama. Kalau fikir kepentingan peribadi, akhirnya yang rosak sistem Melayu, parti Melayu, parti Islam.
“Bila jadi pemimpin semua mesti tak ada yang miskin. Elaun cukup, hidup senang. Tapi kalau ada rumah di London, rumah di New York, berlian berketul-ketul, gantung sini sana, mana nak cukup,” katanya sinis tanpa menyebut pemimpin mana yang dimaksudkan.
Bagi ahli-ahli baharu, Anwar berpesan untuk melatih diri menghayati perjuangan KEADILAN. Berjuang untuk meningkatkan kesaksamaan hak sesama rakyat.
“Kita harus insaf. Dalam KEADILAN baik presiden sampai ahli bawah, kita ikut program latihan. Kita buat latihan satu hari, mengapa kita pilih perjuangan ini. Kita mahu buat perubahan sebaiknya.
“Bagi saudara Ibrahim Khan, saya terima baik, ada pengalaman dalam politik dan juga ada keihklasan,” katanya lagi.