Oleh Aziera NH
Nampaknya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan tamat dalam masa kurang dari 10 hari. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula dari bulan Mac 2020 lepas, pelbagai usaha telah diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan rantaian penyebaran pandemik Covid-19 ini dapat dikurangkan.
Tetapi, apa yang paling menyedihkan sekali ialah apabila ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dengan sengaja melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
Bukan itu sahaja, individu yang sepatutnya menjadi “role model” kepada rakyat pula tu yang dilihat ambil sikap acuh tak acuh terhadap peraturan yang mereka sendiri cipta. Ada juga yang lari daripada dikenakan denda atau tindakan!
Jom kita lihat, berapa ramai Menteri dan Timbalan Menteri Perikatan Nasional (PN) yang melanggar peraturan PKP ini?
1- Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Noor Azmi Ghazali dijatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sebulan kerana melanggar PKP dengan menghadiri satu jamuan di Perak.
2- Tindakan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad yang berkunjung ke rumah rakan politiknya bersama rombongan dan menikmati jamuan makan tengah hari sememangnya melanggar SOP PKP yang melarang berkumpul beramai-ramai.
3- Nurul Zahid dan suaminya bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semasa PKP tanpa ada alasan kukuh dan didenda RM800 sahaja.
4- Ramai yang mempersoalkan apa yang istimewanya Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di JPM (Ekonomi) yang membolehkan beliau rentas sempadan sejauh 445 KM dari KL ke Jeli untuk pulang ke kampung halaman?
5- Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga nampaknya gagal untuk mematuhi arahan untuk memakai pelitup muka di tempat sesak yang mula berkuatkuasa pada 1 Ogos 2020.
6- Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah menghadiri perhimpunan seramai 20 orang di rumah MB sebelumnya Dato’ Seri Dr Ahmad Said dan ini melanggar arahan PKP.
7- Menteri Perindustrian, Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali, ingkar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin 14 hari setelah pulang dari Turki.
Menteri ini hanya dikompaun RM1,000 kerana langgar SOP cegah Covid-19. Sedangkan rakyat marhaen atau Makcik Gelang Pink tu kena denda sampai RM8,000 kerana kesalahan yang sama!
8- Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob sendiri nampaknya lupa akan arahan yang beliau sendiri keluarkan.
“Tiada siapa akan terlepas dari tindakan jika langgar SOP,” kata beliau seperti dipetik Astro Awani.
Tapi, nampaknya beliau sendiri lupa untuk amalkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka di tempat ramai orang ya?
Bukan sahaja berita para pak Menteri ini langgar SOP kita dapat dengar sepanjang PKP ini. Ada juga berita-berita berkaitan mereka yang juga langgar peraturan-peraturan lain seperti ada Menteri yang hisap “Vape” dalam Parlimen, ada Timbalan Menteri yang sibuk tawarkan surat sokongan yang mungkin sekarang dah jadi amalan baru kerajaan PN ini.
“Harapkan pagar, pagar makan padi,” inilah peribahasa yang paling sesuai untuk gambarkan situasi mereka ini. Orang yang sepatutnya dilantik untuk menjadi contoh kepada masyarakat, tapi mereka pula yang sibuk melanggar peraturan secara terang-terangan.