Oleh: Redzuan Shamsudin
Politik kaum Melayu tidak banyak
berubah sejak 30 tahun lalu. Apabila Parti Melayu Semangat 46 (S46) ditubuhkan
oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) untuk melawan Perdana Menteri Datuk Seri
Dr Mahathir Mohamad pada 1988, kaum Melayu tenggelam dalam politik emosi menuju
pilihan raya umum (PRU) 1990.
Isu yang dimainkan ketika itu adalah
menolak kebejatan keputusan Pemilihan Agung Umno 1987 sehingga beberapa
pemimpin utama seperti Ku Li, Rais Yatim, Rahmah Osman dan lain-lain tersingkir
sebaik sahaja Umno diharamkan. Pemimpin S46 bertekad mewujudkan sebuah parti
yang lebih bersih memperjuangkan masa hadapan orang Melayu. Banyaknya ahli Umno
yang meninggalkan parti sepanjang 1988-1989 menjadi modal kempen bahawa BN
perlu dijatuhkan pada PRU 1990.
Bagaimanapun lima tahun setelah
gerakan penuh emosi itu dilancarkan, kemarahan orang Melayu reda. Manakala
setahun selepas PRU 1995, S46 bubar dan para pemimpinnya menyertai Umno secara en block.
Lakukan game changer
Hal yang hampir sama berulang pada
1998 apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat
daripada Umno atas tuduhan Fitnah I. Kemudian beliau didakwa secara
menyalahgunakan institusi kehakiman dengan bukti-bukti yang direkayasa.
Kaum Melayu bangkit membela Anwar.
Gerakan Reformasi mendapat sambutan hangat tidak kira di bandar mahu pun desa.
Keputusan PRU 1999 menjadi cerminan penentangan Melayu terhadap kezaliman.
Biarpun hanya Kelantan dan Terengganu yang berjaya ditawan namun undi popular
kaum Melayu kepada Barisan Alternatif amat tinggi, sekitar 60%.
Anwar dianggap berjaya melakukan game changer pada PRU 1999 biar pun politik emosi
Melayu tidak bertahan lama. Pada PRU Mac 2004, BN yang dikepalai PM Abdullah
Ahmad Badawi (Pak Lah) berjaya menundukkan pembangkang apabila menguasai 198
daripada 222 kerusi parlimen. KEADILAN terpukul teruk dengan hanya Presiden Dr
Wan Azizah satu-satunya Ahli Parlimen yang menang. Ternyata politik emosi
Melayu kali ini bertahan sekitar 6 tahun.
Kekalahan pada PRU 2004 itu
bagaimanapun membuka laluan kepada pembebasan Anwar pada 2 September tahun yang
sama. PM Pak Lah tidak melihat KEADILAN sebagai cabaran dan Anwar dianggap
telah hilang bisa mendekam lebih 5 tahun di Sungai Buloh.
Anggapan Pak Lah meleset, pada 2006
Anwar melakukan come back dengan pelbagai naratif
kempen. Salah satu yang berkesan ialah kejayaan beliau menyatukan Pas dan DAP
di atas satu pentas dan membuka laluan kepada pertandingan satu lawan satu di
seluruh negara pada PRU 2008.
Anwar melaksanakan misi dengan baik
pada PRU ke-12 sehingga BN tersungkur di Perak, Kedah, Selangor dan Pulau
Pinang. Buat pertama kali BN hilang majoriti 2/3 di Parlimen. Kaum Melayu
memberi sokongan melebihi 40% kepada Pakatan Rakyat (PR). Emosi mereka dibakar
seputar isu rasuah dan good governance.
Percaturan rebut kuasa
Namun di kem BN, pesaing Anwar, Dr
Mahathir mula melihat game changer dan politik emosi
adalah satu-satunya resepi percaturan merebut kekuasaan. Beberapa bulan selepas
keputusan mengejut PRU 8 Mac itu, Mahathir mula menghasut orang Melayu.
Beliau berkempen ke bahagian-bahagian
Umno di seluruh negara menghebahkan isu Pak Lah pemimpin lemah. Emosi ahli-ahli
Umno dibakar. Kem Pak Lah berusaha keras agar bahagian-bahagian Umno menolak serangan
bekas PM ke 4 itu. Usaha Mahathir disekat pelbagai rintangan. Bekas PM itu
bertindakbalas dengan taktik merajuk dan mengumumkan keluar parti. Strategi
tersebut berjaya membuat Umno bergolak. Pemimpin pro Mahathir kemudian
menyediakan jalan keluar kepada Pak Lah pada 2009. Mereka melorongkan
timbalannya Najib Tun Razak mengambilalih teraju kuasa.
Di pihak PR, menjelang PRU 2013
politik emosi tidak banyak diguna ke atas orang Melayu. Anwar tidak berminat
dengan isu-isu perkauman acuan Umno. Beliau mengemukakan idea keseimbangan
ekonomi, membantu Melayu tetapi tidak menganaktirikan kaum-kaum lain. Anwar
mengumumkan politik nilai menggantikan politik rasis yang menjadi senjata
parti-parti dalam BN mempertahankan kuasa.
Kaum Cina sambut perubahan
Usaha Anwar membuahkan hasil. Tsunami
PRU 2013 menunjukkan kaum Cina yang lebih rasional memberi 90% undi kepada PR.
Sementara undi Melayu hanya sekitar 40%. Politik emosi kurang berjaya untuk
memastikan PR menjadi pemerintah.
Apa pun keputusan itu memberi
pengajaran kepada Pas bahawa politik emosi penting untuk survival gerakan Islam. Pas yang pada ketika itu telah
mempunyai keahlian sekitar 1.1 juta mula berkira-kira bergerak sendirian
apabila pemimpin spiritual mereka, Tok Guru Nik Aziz
Nik Mat meninggal dunia pada 2014. Pada 2015 Pas menarik diri dari PR dan
menggunakan politik emosi memesongkan pemahaman penyokong bahawa Umno lebih
baik berbanding DAP atau KEADILAN.
Umno diuar-uar akan membantu Pas
menegakan hukum Hudud di Kelantan dan Terengganu dengan meminda Rang
Undang-undang 355. Dibakar kepercayaan songsang, penyokong fanatik Pas sanggup
mengkafirkan rakan-rakan mereka yang dilabel Anwarinas dan meninggalkan
perjuangan parti itu bagi membentuk Parti Amanah Negara.
Takfir tidak setakat memangsakan
AMANAH malah terlajak menyentuh KEADILAN apabila Datuk Seri Dr Wan Azizah
dijadikan bahan sendaan dalam ceramah Pas, kononnya jika meninggal dunia jasad
beliau harus disemadikan di jirat Cina.
Politik emosi berleluasa dimainkan
parti Islam itu dalam kalangan Melayu pada 2015 - 2016. Di pihak Umno pula,
kesilapan dilakukan oleh PM Najib Razak apabila memecat timbalannya Muhyiddin
Yassin dan menggantung keanggotaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta Datuk Seri
Shafie Apdal. Pada perkiraan Najib apabila Pas menjadi sekutu belakang tabir
memecahkan undi dalam PRU 14, tidak ada apa yang boleh menggugat BN untuk
mencatat kemenangan besar.
Beliau gagal membaca kebangkitan Dr
Mahathir mempersoalkan isu kleptokrasi 1Malaysia Development Berhad sehingga
melenyapkan berpuluh bilion ringgit wang negara. Kegelabahan Najib
menggulingkan Mukhriz dari jawatan Menteri Besar Kedah menjadi punca Mahathir
terjun kembali sebagai pemain utama politik.