Pilihan lebih praktikal: Terus berusaha rebut Putrajaya atau fokus persiapan PRU15?

Pilihan lebih praktikal: Terus berusaha rebut Putrajaya atau fokus persiapan PRU15?

Dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan saya tidak pasti apakah keutamaan mereka sekarang?
Mungkinkah masih bergelut dan sibuk berunding “ke sana ke sini mencukupkan nombor” untuk merebut kembali Putrajaya yang di rampas itu?
Atau memberi tarikh akhir untuk Anwar Ibrahim membuktikan beliau mempunyai sokongan minimum daripada ahli-ahli Parlimen bagi melayakkan dirinya sebagai calon perdana menteri?
Bagaimana pula dengan opsyen menamakan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal sebagai alternatif kepada pilihan awal Dr Mahathir Mohamad atau Anwar, yang dilihat menemui jalan buntu? Atau, apakah Pakatan Harapan tidak lagi berpegang kepada cadangan yang disuarakan Mahathir itu, dengan hanya berminat kepada Anwar sahaja?
Meneliti perbahasan dan reaksi yang hangat di media sosial, penyokong pembangkang seperti terbahagi dua. Pertama, tetap menekankan keperluan untuk segera mengambil alih kuasa – berdasarkan mandat rakyat PRU14 – yang dirampas itu, apa lagi kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional terbukti mempunyai majoriti terlalu tipis. Kedua, memusatkan tumpuan gerak kerja bagi memperkemas persiapan PRU15 yang dijangka diadakan secara mengejut.
Bagi kelompok yang bersetuju agar kerajaan tebuk atap – yang didirikan atas komplot pengkhianatan – direbut semula, peluang yang terbuka mesti dimanfaatkan sebaik mungkin. Dengan itu, siapa calon perdana menteri boleh dirundingkan, asal tokoh tersebut mampu “mencukupkan nombor”. Tidak sepatutnya timbul serang- menyerang di antara kem Mahathir atau Anwar. Malah, kedua-dua tokoh itu sendiri harus proaktif menenteramkan situasi.
Diakui tidak mudah mendekatkan jarak yang semakin jauh di antara dua kelompok itu. Masing-masing sudah nampak hilang kepercayaan dan dihantui buruk sangka, yang ada kalanya cukup keterlaluan. Semasa bertekad memandang ke hadapan, bagasi sejarah yang memisahkan Mahathir-Anwar sentiasa dibangkitkan. Sehingga setiap gerak langkah sentiasa dicurigai.
Justeru, langkah Mahathir yang dikira menarik diri daripada perebutan calon PM boleh meredakan sedikit ketegangan. Sama ada cadangan nama Shafie dibuat oleh Mahathir ataupun DAP-AMANAH itu tidak penting. Yang mustahak usaha “mencukupkan nombor” belum terhenti dan masih terbuka kepada perbincangan. Namun proses lobi atau rundingan itu mestilah ada tarikh akhirnya. Jangan sampai harapan terus diberi sehingga tiada kesudahan.
Berdasarkan respons Shafie, cadangan namanya sebagai calon PM seperti mengandungi kesamaran. Mahathir mendakwa cadangan awal membabitkan Shafie datang daripada DAP-AMANAH, tetapi selepas mesyuarat Majlis Presiden PH yang terakhir, ketetapan dibuat mengekalkan pencalonan Anwar. Namun masa masih diberikan kepada Anwar untuk berunding lebih lanjut dengan Shafie. Dan Shafie seperti tidak mahu terikat dengan teka-teki itu.
Masa yang sama, lebih ramai pihak yang melahirkan rasa tidak senang dengan polemik pencalonan PM ini. Ya, rakyat lebih terkesan dengan krisis kehidupan seharian yang membelit mereka. Impak korona virus masih di peringkat awal, tetapi sudah cukup menakutkan. Negara dihimpit masalah ekonomi yang serius dan tidak menentu. Kadar pengangguran dijangka melonjak. Kerajaan Muhyiddin Yassin pula selesa berselindung di sebalik pandemik ini. Natijahnya permainan kuasa elit politik tersembunyi di celah-celah pelbagai inisiatif popular atas nama kepentingan rakyat.
Ramai penyokong pembangkang yang bosan menunggu mandat rakyat PRU14 dimartabatkan kembali nampaknya cenderung menggesa PH mempersiapkan jentera pilihan raya. Bagi mereka, lupakan sahaja impian merebut Putrajaya kerana apa juga hasil akhirnya kerajaan tetap tidak stabil. Apa lagi apabila pertelingkahan di antara kem Mahathir dan Anwar seakan-akan tiada penghujung. Kedua-dua tokoh besar itu nampak sukar sekali memilih pendekatan damai. Seolah-olah ada cerita personal yang tidak terungkap menghalang kompromi di antara mereka.
Kelompok ini menggesa agar segala sumber dan potensi yang ada di pihak oposisi difokuskan untuk persiapan PRU15. Berterusan tenggelam dalam polemik calon PM dianggap membuang masa dan memungkinkan perpecahan lebih serius pada barisan pembangkang.
Berbanding situasi menjelang PRU14 dua tahun lalu, koalisi pembangkang kini dilihat agak tertekan dan berada di posisi defensif. Pakatan Harapan tinggal tiga parti. Bersatu pecah dua, manakala nasib dan masa depan kem penyokong Mahathir masih tidak menentu. Faktor bekas perdana menteri itu dalam PRU14 tidak kecil. Ia mencetuskan gelombang. PKR pun tidak sekompak dahulu. Kumpulan Azmin Ali tidak dapat dipastikan sekuat mana, namun dipercayai ia turut memberi impak yang agak serius.
Lebih daripada itu, pentadbiran 22 bulan PH di bawah Mahathir-Wan Azizah berakhir umpama pesawat terhempas dengan tiba-tiba. Sekiranya ia mendarat secara baik – yakni sehingga habis penggal – saya kira banyak pembetulan dan penambahbaikan dapat dilakukan, yang memungkinkan PH dapat memenangi perang persepsi khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu-Muslim.
Dalam tulisan berikutnya nanti, saya akan menghuraikan pandangan peribadi saya, di antara dua pilihan, iaitu terus berusaha menangkap peluang untuk kembali berkuasa tanpa menunggu PRU15 ataupun melepaskan impian itu dan menumpukan fokus kepada persiapan memantapkan jentera pilihan raya barisan pembangkang?