Peperangan melawan virus Covid 19 mungkin menemui kejayaan sedikit masa lagi.
Terbaharu, saintis United Kingdom telah menemui vaksin yang boleh mencipta antibodi dalam tubuh manusia membunuh virus Covid 19
Baru-baru ini, dua orang saintis di sana disuntik dalam percubaan pertama ke atas manusia menguji keberkesanan antidot berkenaan.
Penyelidik University of Oxford pada 23 April lalu memberikan dos pertama kepada salah seorang daripada mereka, sementara seorang lagi diberi vaksin meningitis untuk perbandingan.
Kumpulan Vaksin Oxford optimis ia akan berjaya dan berharap dapat mengulangi proses ini terhadap 6 lagi sukarelawan.
Ahli mikrobiologi Elisa Granato dan penyelidik kanser Edward O’Neill menawarkan diri untuk menjadi 2 peserta pertama.
Granato, yang mengambil bahagian dalam percubaan itu pada ulang tahunnya yang ke-32 berkata dia teruja untuk menyokong usaha ini dengan menjadi sukarelawan.
“Disebabkan saya tak belajar tentang virus, saya rasa agak tak berguna hari ini, jadi saya rasa inilah cara yang sangat mudah bagi saya untuk menyokon,” katanya.
Manakala bagi O’Neill beliau banggsa kerana diberi peluang mencuba vaksin tersebut
“Nampak ia macam perkara yang betul untuk dibuat bagi memastikan kita dapat memerangi penyakit ini dan mengatasinya dengan lebih cepat.” ujarnya.
Profesor Sarah Gilbert, yang mengetuai pasukan yang melakukan percubaan itu berkata dia optimis terhadap peluang kejayaan vaksin tersebut.
“Secara peribadi, saya sangat optimis ia akan berjaya. Secara rasmi, kami mengujinya dalam keadaan berkesan.
“Semestinya tiada cadangan bahawa kami akan mula menggunakan vaksin ini pada populasi yang lebih luas sebelum kami tunjukkan bahawa ia benar-benar berfungsi dan dapat menghentikan orang ramai dijangkiti koronavirus,” katanya.
Sehingga kini, 1,102 peserta akan direkrut di beberapa tapak kajian di Oxford, Southampton, London dan Bristol mulai minggu depan.
Katanya, setelah dimaklumkan sama ada calon vaksin Covid-19 atau meningitis, mereka akan menjalani kehidupan normal, menulis diari tentang perasaannya atau jika mempunyai sebarang gejala.
Vaksin Covid-19 dianggap sebagai strategi utama untuk menghalang wabak itu daripada terus merebak dan menjadi perlumbaan di antara kebanyakan pakar dan para saintis di seluruh dunia dalam mengembangkan vaksin yang dapat dihasilkan secara besar-besaran.
Imperial College London berharap vaksin ini sedia digunakan pada akhir tahun ini dan juga mendapat lebih banyak sokongan daripada kerajaan.
Para penyelidik berkata bahawa vaksin mungkin tersedia untuk petugas barisan depan dan mereka paling terdedah pada akhir musim sejuk, dengan ujian klinikal bermula pada bulan Jun.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Perubatan England, Profesor Chris Whitty berkata kemungkinan vaksin tersedia pada akhir tahun ini sangat tipis.
Katanya, sehingga vaksin dijumpai, jarak sosial cara paling efektif untuk mengelakkan penyebaran virus.