Kerugian akibat PKP RM2.4 bilion sehari
Kerugian akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) amat buruk mencecah RM2.4 bilion sehari berikutan penutupan perniagaan bagi membendung penularan Covid-19.
Hal itu diakui oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam wawancara yang disiarkan di televisyen malam tadi.
Katanya, kerajaan terpaksa mempercepatkan pembangunan ekonomi digital berikutan jual beli secara konvensional terhalang sejak sebulan lalu.
“Disebabkan PKP, impak boleh dikatakan amat besar ke atas kehidupan rakyat dan ekonomi,” katanya.
Malaysia mula melaksanakan PKP pada 18 Mac lalu dan melanjutkan sekatan itu buat kali ke-3 sehingga 12 Mei ini.