Kapal Selam Separa Dipintas Tentera Laut Perancis Disyaki Seludup Dadah

Markas Angkatan Tentera Perancis menyiarkan video anggota Tentera Laut Perancis menaiki sebuah bot untuk memintas sebuah kapal selam separa (berwarna hijau) tanpa bendera di Lautan Atlantik, berhampiran Kepulauan Hindia Barat pada 25 November 2026. Foto AFP
PARIS, 26 Nov – Tentera laut Perancis memintas sebuah kapal selam separa (semi-submersible) yang disyaki diguna bagi penyeludupan dadah di Lautan Atlantik, kata pendakwa raya.
Tangkapan itu dibuat beberapa hari selepas sebuah lagi kapal serupa ditahan ketika membawa beberapa tan kokain.
“Kapal selam separa itu tidak mengibarkan sebarang bendera dan disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah ketika dipintas tentera Perancis pada 17 November, kata pendakwa jenayah terancang, Vanessa Perree.

Tiada dadah ditemukan, namun lokasi kapal, ketiadaan bendera, sifat operasinya secara rahsia serta barangan yang ditemukan di dalamnya’ membawa kepada penahanan dua kru kapal, katanya.
Operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama tentera laut Colombia dan pasukan Amerika Syarikat (AS) iaitu US Joint Interagency Task Force South.
Menurut Perree, rampasan kapal itu ‘memberi tamparan serius kepada logistik penyeludup dadah’.
Beliau berkata, itu pemintasan kedua kapal selam separa oleh pasukan Perancis yang berpangkalan di Caribbean dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.
Katanya, kapal berkenaan direka untuk bergerak rendah di permukaan air, sekali gus menyukarkannya dikesan atau dipintas radar.
Pada 12 November lalu, tentera laut Perancis merampas hampir 150 kilogram kokain daripada sebuah kapal seumpama itu.
Menurut pihak berkuasa ketika itu, baki kargo seberat beberapa tan tenggelam bersama kapal selam separa itu.
Empat warga Colombia ditahan dalam operasi itu dan berdepan pertuduhan termasuk ‘mengimport dadah secara tidak sah yang dilakukan oleh kumpulan terancang”.
Menurut Perre, mereka ini direman.
Katanya, dua siasatan berasingan itu dikendalikan pejabat pendakwa raya jenayah terancang kebangsaan. – AFP


No comments:
Post a Comment