Mahiaddin tahu wang RM25.3 juta masuk akaun Bersatu tapi pilih ‘pejam mata’ – Pendakwaan

 


Tan Sri Mahiaddin Md Yassin tahu mengenai wang RM25.3 juta yang dimasukkan ke dalam akaun Bersatu ketika beliau menjadi Perdana Menteri, namun memilih untuk ‘memejamkan mata’.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, wang itu dimasukkan oleh tiga syarikat kontraktor dan seorang pengarah sebagai suapan mahu mendapatkan projek Jana Wibawa.

Memetik Harian Metro, Wan Shaharuddin berkata, Mahiaddin sebagai Presiden Bersatu sepatutnya menggunakan autoriti beliau untuk membuat semakan terhadap kemasukan jumlah wang yang besar ke akaun parti.

“Dalam kes ini, tertuduh ‘willfully shut his eyes on what obvious’ (pejamkan mata pada perkara yang jelas).

“Tertuduh bukan boneka atau ahli biasa dalam Bersatu, tetapi pemegang amanah, mempunyai akses terus dan autoriti terhadap akaun parti politik yang dipimpin beliau.

“Jika tertuduh mengambil sedikit usaha untuk menyemak sumber wang RM25.3 juta itu, beliau sudah tentu akan tahu bahawa transaksi-transaksi terbabit membabitkan individu atau syarikat yang sama yang memohon sokongan (untuk projek Jana Wibawa) melalui surat-surat yang dihantar terus kepada beliau,” katanya memetik Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika hujahan lisan kes salah guna kedudukan untuk suapan membabitkan Mahiaddin di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Wan Shaharuddin berhujah, Mahiaddin turut mewujudkan konflik kepentingan antara kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu apabila meminta kontraktor menyalurkan sumbangan terus ke akaun bank parti itu.

Katanya, perkara itu berlaku ketika pertemuan Ahli Parlimen Pagoh itu dengan saksi pendakwaan ke-27 (SP27), Pengarah KCJ Engineering Sdn Bhd, Datuk Seri Azman Yusoff di Tropicana Golf Club.

Beliau berkata, ketika pertemuan itu, Azman bertanyakan kepada Mahiaddin mengenai projek untuk kontraktor Bumiputera di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum tertuduh memaklumkan kerajaan sudah meluluskan program Jana Wibawa.

“Tertuduh turut meminta SP27 mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu daripada Pejabat Perdana Menteri dengan berjumpa Timbalan Ketua Setiausaha Sulit (TKSUS), Asmar Asmadi Abdullah Sani.

“Tertuduh kemudian secara spontan menyatakan sekiranya terdapat ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia atau kontraktor yang ingin membuat sumbangan, mereka boleh menyumbang terus kepada Bersatu.

“Tindakan itu menunjukkan tertuduh telah mewujudkan konflik kepentingan antara kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu,” katanya.

Beliau berhujah, tindakan itu menunjukkan tujuan sebenar Mahiaddin membuka laluan kepada KCJ Engineering, Nepturis Sdn Bhd dan Sutracom untuk memasuki proses penilaian Jawatankuasa Penilaian Jana Wibawa di Kementerian Kewangan.

Wan Shaharuddin berkata, tindakan Mahiaddin itu juga perlu dilihat bersama keterangan Azman serta dua saksi lain, iaitu Pengarah Urusan Mamfor Sdn Bhd, Shahradzi Shamsuddin (SP20) dan Pengarah Metrasys Sdn Bhd serta pengasas Nepturis Sdn Bhd, Lian Tan Chuan (SP21).

Katanya, ketiga-tiga individu berkenaan mempunyai kaitan dengan kemasukan RM25.3 juta ke dalam akaun Bersatu selepas pertemuan di Tropicana Golf Club.

“Fakta ini adalah asas untuk mengaktifkan anggapan undang-undang di bawah Seksyen 23(2) Akta SPRM bagi membuktikan elemen penting pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) akta sama,” katanya.

Mahiaddin, 79, berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti itu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd dan KCJ Engineering Sdn Bhd serta Azman berkaitan Projek Jana Wibawa.






No comments: