Pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A. Samad Said pada usia 91 tahun bukan sekadar kehilangan seorang tokoh sastera. Allahyarham juga meninggalkan sejarah panjang sebagai pejuang rakyat yang pernah berdepan tindakan pihak berkuasa ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Ramai mengenali Pak Samad melalui karya hebatnya seperti Salina, tetapi tidak semua tahu bagaimana lelaki berjanggut putih ini pernah turun ke jalanan, terkena gas pemedih mata, disoal siasat polis, malah ditahan pada tengah malam.
Pada 7 Mac 2009, ketika BN masih memerintah di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi, Pak Samad menyertai demonstrasi membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Ketika ribuan peserta berarak menuju Istana Negara untuk menyerahkan memorandum, polis melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan perhimpunan tersebut.
Pak Samad yang ketika itu berusia 73 tahun turut terkena gas pemedih mata pada bahagian hidung dan matanya. Beliau juga menceritakan pernah ditolak ketika kejadian tersebut.
Namun, pengalaman itu tidak mematahkan semangatnya. Beliau tetap meneruskan perjuangan mempertahankan kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.
Bukan setakat itu, pada Mac 2009, Pak Samad turut disiasat polis berhubung penglibatannya dalam perarakan membantah PPSMI tersebut.
Masuk pula tahun 2011, ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri, Pak Samad sekali lagi berdepan siasatan polis. Kali ini bukan kerana berarak, tetapi kerana mendeklamasikan puisi!
Beliau dipanggil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 27 Jun 2011 selepas mendeklamasikan sajak Unggun Bersih ketika pelancaran Bersih 2.0.
Lebih menarik, beliau disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Polis 1967. Pak Samad ketika itu melahirkan rasa sedih kerana sebuah puisi yang menurutnya bertujuan memperbaiki keadaan masyarakat turut menerima perhatian sedemikian daripada pihak berkuasa.
Beliau menegaskan bahawa karya tersebut lahir daripada hati sendiri, bukannya kerana dibayar oleh mana-mana pihak.
Namun, episod paling mendapat perhatian berlaku pada 4 September 2013 apabila Pak Samad ditahan polis sekitar jam 12.30 tengah malam di kediamannya di Bangsar.
Ketika itu, beliau disiasat berhubung insiden pengibaran bendera Sang Saka Malaya oleh beberapa individu ketika acara Ambang Merdeka di Dataran Merdeka, tempat beliau turut mendeklamasikan sajak.
Pak Samad dibawa ke IPD Dang Wangi dan disoal siasat di bawah Akta Hasutan sebelum dibebaskan kira-kira dua jam kemudian.
Bayangkan, seorang Sasterawan Negara yang ketika itu sudah berusia 78 tahun ditahan pada tengah malam bagi membantu siasatan berkaitan satu acara sambutan kemerdekaan.
Kontroversi tersebut tidak terhenti di situ.
Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut menyatakan bahawa penglibatan Pak Samad dalam insiden berkenaan boleh menjejaskan pandangan masyarakat terhadap gelaran Sasterawan Negara yang diterimanya sejak 1985.
Malah, timbul desakan daripada pihak tertentu supaya gelaran tersebut ditarik balik.
Namun, Pak Samad memberikan respons yang cukup tegas. Beliau tidak kisah sekiranya gelaran Sasterawan Negara ditarik, malah sanggup menerima jika kewarganegaraannya turut dilucutkan.
Walaupun begitu, gelaran dan kewarganegaraan beliau tidak dilucutkan.
Itulah sebahagian daripada perjalanan hidup seorang tokoh sastera yang bukan sekadar menghasilkan karya, tetapi turut menggunakan suara, puisi dan kehadirannya di jalanan untuk memperjuangkan perkara yang dipercayainya.
Dalam sejarah negara, Pak Samad dikenang bukan sahaja sebagai penulis besar, tetapi juga individu yang berani menyatakan pendirian meskipun berdepan tekanan dan siasatan pihak berkuasa.
Daripada terkena gas pemedih mata ketika memperjuangkan bahasa Melayu pada 2009, disiasat kerana puisi pada 2011, sehinggalah ditahan polis pada 2013, semuanya berlaku ketika negara berada di bawah pentadbiran BN.
Kini Pak Samad sudah pergi buat selama-lamanya, tetapi sejarah perjuangannya tetap menjadi sebahagian daripada perjalanan demokrasi dan kebebasan bersuara di Malaysia.
Al-Fatihah buat Allahyarham A. Samad Said.

No comments:
Post a Comment