7 Pelaburan Tabung Haji rugi 100 peratus, Al-Rawda catat kerugian paling teruk
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan jawapan bertulis Parlimen berkenaan isu Suruhanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang mengesahkan tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah organisasi itu mengalami kerugian penuh 100 peratus.
Menurut dokumen bertarikh 11 Ogos 2026 itu, jawapan bertulis daripada Menteri menyatakan bahawa kesemua tujuh pelaburan berkenaan telah dibuat peruntukan rosot nilai sepenuhnya.
Berikut merupakan senarai tujuh syarikat yang dilapor mengalami kerugian 100 peratus:
1. Putrajaya Perdana Berhad (PPB)
2. Al-Rawda Real Estates
3. Trurich Resources Sdn. Bhd.
4. Emvail Sdn. Bhd.
5. Wellspring Worldwide Ltd.
6. Abraq Sdn. Bhd.
7. Al-Fareeda Residential Fund
Mengulas jawapan bertulis berkenaan, Syed Saddiq menerusi hantaran di media sosialnya memberitahu bahawa kerugian paling serius melibatkan Al-Rawda Real Estates.
Beliau mendakwa lebih RM1.5 bilion telah dibayar secara pendahuluan (upfront) kepada Al-Rawda yang bertindak sebagai orang tengah, namun pelaburan itu tidak mempunyai sebarang jaminan bank serta kawalan ketelitian (due diligence) yang lemah.
"Perlindungan TH cuma nota janji yang dijamin secara peribadi. Manfaat penginapan untuk jemaah pula tidak diterima seperti dirancang dan kutipan sewa terhenti bertahun-tahun," katanya.
Tambah beliau, jawapan rasmi Parlimen itu menunjukkan jumlah pelaburan bernilai bilion ringgit telah dikeluarkan tanpa memberi sebarang hasil pulangan kepada pihak Tabung Haji.

No comments:
Post a Comment