Memahami persoalan cukai arak dan judi dalam Islam serta bagaimana Malaysia menguruskannya.
Ada satu persoalan yang sering ditimbulkan; “Kalau arak dan judi haram dalam Islam, bagaimana sebuah kerajaan yang mendakwa berpegang kepada Islam boleh menerima cukai daripada arak dan judi..?”
Jawapannya memerlukan kita membezakan antara hukum PERBUATAN dengan hukum PENGURUSAN hasil negara.
Arak dan judi tetap haram bagi orang Islam, titik..!
Allah SWT berfirman:
«يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ»
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah kotor daripada perbuatan syaitan. Maka jauhilah ia agar kamu berjaya.” Surah al-Ma'idah ayat 90
Jadi, Islam tidak pernah menghalalkan arak atau perjudian kepada orang Islam.
JAKIM juga menegaskan pengharaman arak dan judi berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.
Tetapi apabila berhadapan dengan masyarakat bukan Islam yang mempunyai agama, kepercayaan dan undang-undang tersendiri, fiqh Islam mempunyai perbahasan yang lebih luas mengenai hak mereka serta cara sebuah kerajaan mengurus masyarakat majmuk.
Oleh itu, bagaimana kerajaan mengurus masyarakat bukan Islam yang melakukan aktiviti yang tidak diharamkan oleh agama mereka..?
Di sinilah fiqh siyasah dan fiqh muamalat mempunyai perbahasan tersendiri.
Bukan Islam mempunyai ruang tertentu dalam agama dan kehidupan mereka.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pernah menjawab persoalan yang hampir tepat dengan isu ini dalam Al-Kafi #257: Cukai Judi dan Arak.
Pandangan yang diberikan ialah, sekiranya sesuatu perkara itu dibenarkan dalam agama bukan Islam, kerajaan boleh membenarkannya dalam ruang lingkup mereka, dengan syarat-syarat tertentu.
Antaranya:
Hanya melibatkan orang bukan Islam.
Dikawal dan tidak dibiarkan berleluasa.
Orang Islam tidak dibenarkan terlibat.
Kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab menghalang orang Islam daripada melakukan perkara tersebut.
Dan yang sangat penting, Mufti Wilayah menyatakan bahawa cukai yang dikenakan ke atas arak dan judi adalah dibenarkan, tetapi terdapat khilaf ulama tentang bagaimana hasil tersebut hendak diuruskan.
Ini bermaksud isu tersebut bukan sesuatu yang boleh dihukum secara mudah dengan mengatakan “haram kerana duit itu datang daripada arak dan judi.”
Dalam karya fiqh klasik seperti Ahkam Ahl al-Dhimmah oleh Ibn al-Qayyim, terdapat perbahasan mengenai hasil daripada arak dan khinzir yang dimiliki dan diniagakan oleh bukan Islam.
Antara riwayat yang dibincangkan ialah tindakan Saidina Umar bin al-Khattab RA.
Apabila para pegawai mengambil arak dan khinzir daripada bukan Islam sebagai sebahagian daripada hasil negara, Umar RA mengarahkan, “Jangan kamu mengambilnya daripada mereka, tetapi biarkan mereka menjualnya dan ambillah daripada hasil jualannya.”
Riwayat dan perbahasan ini menjadi asas kepada perbezaan pandangan fuqaha mengenai pengambilan hasil daripada transaksi yang dianggap haram bagi orang Islam tetapi merupakan harta yang diiktiraf dalam urusan sesama bukan Islam.
Ibn al-Qayyim turut menghimpunkan pandangan fuqaha Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Hanbali mengenai persoalan ini.
Jadi, sesiapa yang mengatakan, "dalam negara Islam, mengambil hasil daripada arak dan judi secara mutlak pasti haram dan tiada langsung khilaf ulama,”
kenyataan itu terlalu simplistik.
Mengharuskan pengurusan hasil yang haram tidak sama dengan menghalalkan perbuatan tersebut.
Kerajaan tetap wajib:
Menghalang orang Islam daripada meminum arak.
Menghalang orang Islam daripada berjudi.
Mengawal premis.
Menghadkan lesen.
Memastikan aktiviti tersebut tidak menyasarkan orang Islam.
Menguatkuasakan undang-undang.
Mencegah mudarat kepada masyarakat.
Mufti Wilayah sendiri ketika membincangkan penggunaan hasil daripada lesen judi dan arak menegaskan bahawa keharusan menggunakan hasil tersebut bukan bermaksud kerajaan boleh menjadikan maksiat sebagai sesuatu yang digalakkan atau dibiarkan berkembang tanpa kawalan.
Malaysia bukan sebuah negara yang hanya mempunyai orang Islam.
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Perkara 11 pula memberikan kebebasan kepada setiap orang untuk menganut dan mengamalkan agamanya, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan.
Sebab itu Malaysia mempunyai pendekatan undang-undang yang berbeza antara Muslim dan bukan Muslim dalam beberapa perkara agama.
Dalam isu arak dan perjudian, orang Islam TIDAK diberikan kebebasan untuk berjudi atau meminum arak mengikut Enakmen Jenayah Syariah di setiap negeri.
Perkara itu sudah sedia ada, dan ia sangat jelas.
Tetapi aktiviti tertentu yang dilakukan oleh bukan Islam dikawal melalui undang-undang dan lesen kerajaan.
Kerajaan mengenakan cukai, duti dan levi yang berkaitan dengan aktiviti tersebut sebagai sebahagian daripada sistem hasil negara.
Ini bukan bermaksud kerajaan mengatakan “Arak halal” atau “Judi halal”, tidak..!
Sebaliknya, kerajaan mengurus realiti masyarakat majmuk melalui undang-undang, kawal selia, lesen dan percukaian.
Timbul satu soalan, "mengapa tidak sahaja kerajaan mengharamkan semuanya..?"
Ini persoalan dasar yang berbeza daripada persoalan hukum.
Kalau sebuah negara mempunyai masyarakat yang pelbagai agama dan undang-undang negara memberikan ruang tertentu kepada bukan Islam, kerajaan perlu menentukan bagaimana aktiviti tersebut dikawal supaya tidak merebak kepada umat Islam dan masyarakat secara keseluruhan.
Salah satu pendekatan ialah melalui kawalan dan penguatkuasaan, dikenakan lesen, dihadkan, dipungut cukai, dan cegah orang Islam daripada terlibat dengan undang-undang jenayah syariah.
Ini lebih hampir kepada konsep pentadbiran dan maslahah daripada membiarkan aktiviti tersebut berlaku secara haram tanpa kawalan.
Dalam fiqh, pemerintah mempunyai tanggungjawab mengurus perkara yang berlaku dalam masyarakat berdasarkan kemaslahatan dan mengelakkan mudarat yang lebih besar.
Oleh yang demikian, "ke mana hasil cukai tersebut boleh digunakan..?"
Di sinilah terdapat khilaf ulama.
Mufti Wilayah menyebut dua pandangan utama berkaitan hasil cukai arak dan judi.
Pandangan pertama, hasil tersebut diasingkan daripada hasil yang halal dan digunakan untuk maslahat tertentu, khususnya berkaitan orang bukan Islam.
Pandangan kedua, hasil tersebut tidak semestinya diasingkan dan boleh digunakan untuk maslahat umum.
Malah, Mufti Wilayah dalam perbincangan lain menyatakan bahawa hasil kewangan tidak patuh syariah seperti hasil daripada lesen judi dan arak boleh digunakan untuk kebajikan dan kemaslahatan, dengan syarat ia tidak menjadi alasan untuk menggalakkan atau menyuburkan aktiviti maksiat tersebut.
Apa yang kita selaku muslim wajib fahami adalah:
PERTAMA
Hukum individu Muslim.
Arak dan judi adalah haram.
KEDUA
Hak dan urusan bukan Islam.
Dalam fiqh dan juga sistem perundangan Malaysia, terdapat ruang tertentu bagi bukan Islam untuk mengurus perkara yang tidak dibenarkan kepada Muslim.
KETIGA
Tanggungjawab kerajaan.
Kerajaan boleh mengenakan cukai dan mengawal aktiviti tersebut berdasarkan undang-undang serta kemaslahatan awam.
Justeru, mengutip cukai daripada aktiviti arak atau judi bukan bermakna kerajaan menghalalkan arak dan judi.
Begitu juga, membenarkan aktiviti tertentu untuk bukan Islam tidak bermaksud Islam mengiktirafnya sebagai halal untuk umat Islam.
Inilah sebabnya kita perlu berhati-hati apabila menggunakan perkataan “Kalau kerajaan kutip cukai arak dan judi, bermakna kerajaan menghalalkan arak dan judi.”
Kesimpulan seperti itu tidak tepat dari sudut fiqh.
Malah, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sendiri telah menjawab secara khusus bahawa cukai arak dan judi dibenarkan dengan perincian dan khilaf dalam cara penggunaannya.
Prinsipnya mudah, arak haram dan judi juga haram.
Tetapi pengurusan negara terhadap aktiviti bukan Islam mempunyai hukum dan perbahasan yang berbeza daripada hukum perbuatan itu sendiri.
Dan dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, pendekatan kerajaan ialah menggabungkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kebebasan beragama, undang-undang sivil, kawal selia dan percukaian, supaya hak rakyat yang berbeza agama dapat diurus tanpa memaksa hukum agama Islam ke atas semua orang secara sama rata.
Inilah beza antara memahami Islam sebagai agama dan mengurus sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang agama.
WAllahu A'lam.
Sekian.
No comments:
Post a Comment