MENARIK KRITIKAN INI. DI MANA SIKAPNYA KERAJAAN INI.

 



Norman Daud


2 hari Kongres Parti KEADILAN berlangsung dan tengah hari tadi ia melabuhkan tirai.






Suasananya memang gemilang.


Dewan yang indah, kereta-kereta mewah bertaburan di tempat letak kereta. Alphard dan Vellfire dengan nombor pendaftaran satu atau dua angka megah di ruang VVIP.


Sebagai orang kampung seperti saya, memang menakjubkan melihat semua itu.


Sepanjang kongres, wakil-wakil negeri dan pimpinan diberi ruang untuk menyampaikan pandangan dan membahaskan ucapan dasar DS Anwar Ibrahim  .


Pelbagai isu dibangkitkan.


Isu parti, isu rakyat dan isu kepimpinan bergema di dalam dewan.


pada hari terakhir ini juga, kami dibekalkan sebuah buku yang bagi saya lebih penting daripada sekadar bahan bacaan.


Buku itu bertajuk Temu Fikrah penulisan bersama oleh ketua AMK Kamil Munim 


Di dalamnya dijelaskan kembali asas perjuangan Parti KEADILAN sejak penubuhannya pada tahun 1999.


Saya tertarik dengan kata-kata dalam mukadimah yang ditulis oleh PMX:


“(Perjuangan) ini tidak lahir sebagai kebetulan semata, jauh sekali daripada mengejar takhta dan kuasa, ia lahir dari jeritan nurani marhaen yang mendambakan keadilan, menegak hakikat karamah insaniah (kemuliaan insan) serta mendesak pembaikan struktur (islah) secara menyeluruh.”


Saya berhenti sejenak membaca ayat itu.


Inilah asas perjuangan KEADILAN.


Parti ini lahir daripada suara rakyat. Daripada mereka yang merasakan ketidakadilan. Daripada mereka yang mahu maruah manusia dipertahankan dan struktur kehidupan rakyat diperbaiki.


Tetapi hari ini, kita perlu berani bertanya kepada diri sendiri.


Kalau asas perjuangan kita masih sama, kenapa rakyat yang menjadi sasaran perjuangan kita semakin menjauh?


Kenapa rakyat seperti menolak kita?


Saya rasa kita tidak boleh salahkan rakyat.


Mereka telah memberikan peluang kepada kita untuk memegang amanah.


Persoalannya, adakah kita benar-benar telah menunaikan amanah itu?


Empat tahun kita mentadbir.


Pelbagai pencapaian ekonomi boleh kita bentangkan. Angka pertumbuhan, pelaburan, hasil kerajaan, pengurangan defisit dan pelbagai lagi data yang membanggakan.


Kita melihat angka-angka itu dan kita yakin rakyat sepatutnya gembira.


Tetapi rakyat tetap boleh mempunyai pandangan yang berbeza.


Kenapa?


Mungkin kerana kita terlalu banyak bercakap tentang angka, tetapi terlalu sedikit menyentuh hati rakyat.


Kita kurang turun bertemu mereka.


Kita kurang mendengar rintihan mereka.


Batang hidung kita kadang-kadang hanya kelihatan apabila pilihan raya semakin dekat.


Kita bangga menaiki kenderaan yang selesa dan mewah, tetapi berapa ramai antara kita yang benar-benar pernah menurunkan tingkap, berhenti di tepi jalan dan bertanya kepada rakyat bagaimana kehidupan mereka?


Kita lupa dalam nama parti kita ada perkataaan RAKYAT. 


Inilah yang mungkin kita terlupa.


Dasar kerajaan yang baik tidak akan memberi makna jika rakyat tidak memahaminya.


Bantuan yang sampai kepada rakyat tetapi tidak diterangkan dengan baik, akhirnya orang lain yang akan mengambil kreditnya.


Reformasi yang kita lakukan tetapi gagal kita jelaskan, akhirnya dianggap tidak berlaku.


Dan apabila fitnah datang bertalu-talu, kita pula hanya diam.


Kita biarkan orang lain membentuk persepsi rakyat.


Kemudian apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepada kita, kita mula mencari alasan.


Kita salahkan media.


Kita salahkan pembangkang.


Kita salahkan fitnah.


Kita salahkan sentimen.


Mungkin ada benarnya semua itu.


Tetapi kita juga perlu berani melihat kelemahan diri sendiri.


Jangan sampai kita terlalu sibuk memberitahu rakyat betapa baiknya prestasi kerajaan sehingga kita terlupa bertanya kepada rakyat:


“Adakah tuan benar-benar merasainya?”


Kerana akhirnya, sentimen boleh mengatasi prestasi.


Kita boleh menunjukkan angka yang cantik di atas kertas.


Tetapi kalau rakyat tidak merasakan perubahan itu dalam kehidupan mereka, angka tersebut tidak akan memenangkan hati mereka.


Lebih malang lagi kalau rakyat tidak tahu apa yang telah kerajaan lakukan kerana kita sendiri gagal menerangkannya.


Dan di sinilah peranan ahli parti.


Tidak cukup hanya hadir kongres.


Tidak cukup hanya bersorak ketika pemimpin berucap.


Tidak cukup hanya aktif apabila pilihan raya semakin dekat.


Ahli KEADILAN mesti menjadi mata, telinga dan suara parti di tengah-tengah masyarakat.


Kalau ada dasar kerajaan yang baik, kita terangkan.


Kalau ada fitnah, kita jawab dengan fakta.


Kalau rakyat marah, kita dengar.


Kalau rakyat mengadu, kita turun.


Kalau kerajaan tersilap, kita jangan takut menegur.


Kita bukan diwujudkan untuk mempertahankan jawatan.


Kita diwujudkan untuk mempertahankan perjuangan.


Dan mungkin selepas dua hari kita duduk di dalam dewan yang indah ini, kita perlu kembali kepada persoalan paling asas


Adakah KEADILAN hari ini masih menjadi parti yang lahir daripada “jeritan nurani marhaen”?


Atau kita sudah terlalu selesa sehingga tidak lagi mendengar jeritan itu?


Saya tidak menulis ini kerana kecewa dengan parti.


Saya menulis kerana saya masih percaya kepada perjuangan ini.


Tetapi kalau kita benar-benar percaya kepada asas perjuangan yang ditulis dalam Temu Fikrah, kita mesti berani melakukan muhasabah.


Rakyat bukan musuh kita.


Rakyat juga tidak pernah berjanji untuk memilih kita selama-lamanya.


Mereka hanya memberikan amanah.


Dan apabila mereka merasakan kita sudah jauh daripada mereka, mereka berhak memilih siapa yang mereka percaya.


Tugas kita bukan memarahi mereka kerana pilihan itu.


Tugas kita ialah kembali kepada mereka.


Turun ke bawah.


Dengar suara mereka.


Fahami kehidupan mereka.


Terangkan apa yang kita lakukan.


Dan buktikan bahawa perjuangan KEADILAN masih lagi berpijak di bumi yang sama tempat ia dilahirkan pada tahun 1999.


Perjuangan ini bukan tentang siapa yang mendapat jawatan.


Bukan tentang siapa yang menaiki kereta paling mewah.


Perjuangan ini tentang manusia.


Tentang maruah.


Tentang keadilan.


Tentang memperbaiki kehidupan rakyat.


Dan kalau kita benar-benar mahu rakyat kembali percaya kepada kita, mungkin kita tidak perlu bermula dengan angka.


Kita perlu bermula dengan mereka.


Dengan rakyat.





No comments: