Saya ni antara orang yang paling berharap isu Rohingya dapat diselesaikan dengan cara yang betul.






Afiq Noordin 


 Saya ni antara orang yang paling berharap isu Rohingya dapat diselesaikan dengan cara yang betul.

Kalau perlu berhimpun di depan Kedutaan Myanmar untuk desak kerajaan mereka terima semula pelarian ini, saya sendiri sanggup turun.
Sebab apapun punca sebenar masalah ini bukan Malaysia, Indonesia atau Thailand tapi datang dari Myanmar sendiri.
Tapi bila saya tonton satu video ucapan oleh seorang aktivis Rohingya yang cukup berjaya di Australia, terus rasa macam nak tepuk dahi.
“Siapa Noor Azizah Rohingya?”
Melalui perkongsian tuan Khairul Azri, dia ni pengasas bersama Rohingya Maìyafuìnor Collaborative Network, sebuah pertubuhan yang perjuangkan hak dan kebajikan komuniti Rohingya.
Dia ni pun pernah jadi penasihat pelarian kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, ahli Panel Penasihat Pelarian Australia serta terlibat dalam pelbagai platform antarabangsa berkaitan pelarian.
Dari sudut akademik dan kerjaya, pencapaian dia pun memang mengagumkan.
Dia ada Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan Sarjana Pengajian Keamanan dan Konflik daripada Universiti Sydney.
Sekarang dia berkhidmat sebagai guru pakar bahasa Inggeris di New South Wales, Australia.
Dia juga ada dapat Stellar South Asian Women Award 2023 bagi kategori Impak Global Cemerlang dan pernah disenaraikan sebagai antara wanita muda yang perlu diperhatikan dalam bidang hal ehwal antarabangsa.
Pendek kata, dia ni antara pelarian yang berjaya.
“Jadi apa kaitan dia dengan Malaysia?”
Noor Azizah lahir tahun 1995 di Arakan, Myanmar. Masa dia masih kecil, keluarga dia larikan diri ke Sabah.
Katanya, dia pernah hidup sebagai gelandangan dan tak pernah terima pendidikan formal masa kat Malaysia.
Keluarga dia berpindah ke Australia pada 2003.
Di sana dia mula bersekolah, belajar bahasa Inggeris, dan sambung belajar ke universiti.
Maksudnya, dia tak pernah dapat pendidikan di Malaysia dan tak pernah jadi warganegara Malaysia.
“Apa yang sebenarnya dia cakap?”
Dalam satu ucapan yang tular itu, Noor Azizah ada bangkitkan isu yang dihadapi komuniti Rohingya di Malaysia, Indonesia dan Thailand.
“Selepas kami melarikan diri dari Myanmar, keganasan terus mengekori kami.
Kat Malaysia ada lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya dikurung di pusat tahanan imigresen, membesar di sebalik jeriji besi dan bukannya di dalam bilik darjah.
Di Indonesia pula ucapan kebencian, maklumat palsu dan info tak betul membanjiri media sosial.
Manakala di Thailand sindiket pemerdagangan manusia memperdagangkan tubuh Rohingya seperti mata wang.”
“Jadi apa isunya?”
Tak kisah pun dia nak cakap pasal negara yang terpaksa terima mereka sebagai pelarian. Tapi pelik kenapa dia terus saja tuju pada Myanmar?
Yang halau, menafikan hak dan menyebabkan mereka jadi pelarian adalah Myanmar.
Sepatutnya dia guna pentas itu untuk beri tekanan yang lebih besar kepada Junta Myanmar, kerajaan Myanmar dan masyarakat antarabangsa supaya mencari penyelesaian yang berkekalan.
Bukan kambing hitamkan negara yang dah makin sempit sebab terpaksa terima kehadiran mereka.
Saya setuju dengan pandangan Ahmad Faezal mengenai isu pendidikan pelarian.
Kita tak wajar tolak kepentingan pendidikan. Semua kanak-kanak berhak belajar membaca, menulis dan membina masa depan yang lebih baik.
Tapi bukan guna peruntukan kerajaan.
Pastikan ada pihak persendirian yang sudi sediakan pendidikan kepada komuniti pelarian.
Tubuhkan sekolah komuniti, pusat pembelajaran dengan penglibatan NGO, badan kebajikan, badan antarabangsa atau komuniti pelarian sendiri.
Laksanakan secara sukarela dan persendirian.
Pembiayaan pendidikan pelarian sepatutnya dipikul oleh badan antarabangsa seperti PBB, UNHCR dan organisasi berkaitan.
Tapi sekali lagi saya tegaskan, jangan sesekali gunakan wang daripada Perbendaharaan Negara.
Kerana keutamaan kerajaan Malaysia mestilah fokus kepada rakyat Malaysia dulu.
Akhir sekali, ada beberapa persoalan yang saya fikir kerajaan Malaysia wajar jawab dan respon.
Pertama, benarkah terdapat lebih 2,000 kanak-kanak Rohingya dalam tahanan imigresen seperti yang didakwa?
Kedua, jika benar apa yang diperkatakan, apakah rancangan kerajaan untuk menguruskan mereka?
Ketiga, apakah usaha yang sedang dilakukan oleh PBB dan UNHCR untuk mempercepatkan penempatan ke negara ketiga?
Keempat, apakah usaha yang sedang dilakukan untuk memastikan mereka akhirnya dapat kembali ke tanah asal mereka?
Harap kerajaan dapat beri jawapan dengan segera supaya tak keluar lagi kenyataan dari orang Rohingya tentang Malaysia macam si Noor Azizah.




No comments: