El Niño bakal landa Malaysia, rakyat diminta bersedia hadapi cuaca panas ekstrem


 


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan rakyat Malaysia supaya membuat persediaan awal menghadapi fenomena El Niño yang dijangka mula memberi kesan kepada cuaca negara dalam tempoh terdekat dan berpotensi berlarutan sehingga awal tahun 2027.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, berdasarkan maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), fenomena tersebut dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada kebiasaan sepanjang tempoh Monsun Barat Daya.

Menurutnya, keadaan itu boleh mengurangkan jumlah hujan di beberapa kawasan sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan air, kebakaran hutan, kebakaran tanah gambut serta kejadian jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan awam.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Zahid menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca semasa serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko yang mungkin berlaku.

Katanya, rakyat perlu menggunakan air secara berhemah, mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka dan memberi perhatian serius terhadap aspek kesihatan terutama golongan berisiko tinggi yang lebih mudah terdedah kepada kesan cuaca panas melampau.

Dalam masa sama, beliau turut menggesa orang ramai mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi aplikasi myCuaca dan saluran rasmi MET Malaysia supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang perubahan keadaan cuaca.

Tambahnya, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan sepanjang negara berdepan risiko cuaca panas dan kering dalam tempoh mendatang.





No comments: