MCMC Arah Liputan Telekomunikasi Di Kampung Tinagat Dipertingkat Segera

 


Pasukan MCMC menguji liputan telekomunikasi dan mengambil tindakan susulan bagi menangani isu kualiti perkhidmatan selular yang tidak memuaskan di Kampung Tinagat, Tawau pada 8 Jun 2026. Foto MCMC

TAWAU, 9 Jun – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi mengambil tindakan segera bagi meningkatkan kualiti liputan komunikasi di Kampung Tinagat, di sini.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengadakan lawatan ke kampung berkenaan baru-baru ini selepas menerima aduan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan dan penduduk setempat.

Katanya, lawatan itu turut disertai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tinagat bagi menilai sendiri tahap perkhidmatan komunikasi yang diterima pengguna.

Atas aduan daripada penduduk, MCMC mengambil tindakan susulan bagi menangani isu kualiti perkhidmatan selular yang tidak memuaskan di Kampung Tinagat, Tawau pada 8 Jun 2026. Foto MCMC

“Hasil pengujian Wireless Broadband Access Service (WBAS) yang dijalankan di tiga lokasi mendapati dua lokasi tidak memenuhi standard mandatori yang ditetapkan MCMC.

“Dapatan itu sudah dimaklumkan kepada penyedia perkhidmatan terbabit pada 29 Mei lalu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, syarikat telekomunikasi yang terbabit diberikan tempoh tujuh hari bekerja untuk mengemukakan maklum balas dan pelan tindakan susulan berhubung keputusan ujian berkenaan.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang disiarkan pada 8 Jun 2026. Foto MCMC

MCMC berkata, notis di bawah Seksyen 51(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dikeluarkan kepada mana-mana penyedia perkhidmatan yang gagal memberikan maklum balas dalam tempoh ditetapkan.

Katanya, bagi memastikan masalah itu dapat ditangani segera, CelcomDigi diarahkan melaksanakan langkah penambahbaikan liputan rangkaian serta menyediakan pelan tindakan jangka pendek dan jangka panjang.

“Maxis pula diarahkan menjalankan kerja penyelenggaraan di tapak menara telekomunikasi Kampung Tinagat bagi meningkatkan prestasi perkhidmatan di kawasan berkenaan,” katanya.

Kenyataan media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) yang disiarkan pada 8 Jun 2026. Foto MCMC

Menurut MCMC, pihaknya akan terus memantau pelaksanaan tindakan yang diambil oleh penyedia perkhidmatan bagi memastikan isu liputan komunikasi di Kampung Tinagat dapat diselesaikan dengan berkesan.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan penduduk setempat menikmati perkhidmatan komunikasi yang lebih stabil dan berkualiti.



No comments: