5 Cerai Berai Pakatan Politik PAS sejak Haji Hadi jadi Presiden PAS dalam 24 tahun BA-PR-GS-MN-PN. Sembang nak penyatuan ummah, habis BERSATU tu bukan sebahagian ummah ke?
ALHAMDULILLAH - PAS PUTUS HUBUNGAN DENGAN BERSATU, JAJARAN BAHARU SEDANG MENUNGGU
9 Jun 2026
Keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat malam tadi adalah seperti kenyataan media di bawah:-
KENYATAAN MEDIA PAS PUSAT
KERJASAMA POLITIK PAS–BERSATU
Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada hari ini, Isnin 8 Jun 2026, telah membuat ketetapan seperti berikut:
i. Memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun 2026 berhubung pertimbangan dasar, hukum dan maslahah kerjasama politik PAS, atas prinsip penyatuan ummah;
ii. Meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik PAS–BERSATU berdasarkan laporan, kajian dan penilaian semasa;
iii. Menghentikan kerjasama politik dengan BERSATU;
iv. Meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Umum ke-16; dan
v. Menerima hasrat tokoh-tokoh akademik, profesional, pemimpin politik, dan aktivis masyarakat untuk menyertai PAS.
“Kembali Kepada Penyelesaian Islam”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 22 Zulhijjah 1447 / 8 Jun 2026
#########################
Daripada kenyataan di atas, hanya dua perkara yang penting dan menarik untuk diperkatakan:-
Pertama, PAS memutuskan hubungan politik dengan Bersatu;
Kedua, PAS akan meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah, bagi menghadapi PRN Johor serta Negeri Sembilan dan PRU16.
Dalam keadaan PAS tiada lagi kerjasama politik dengan Bersatu berkuatkuasa serta-merta, paling mudah untuk difahami ialah PAS dan Bersatu tidak akan bekerjasama lagi dalam mana-mana pilihan raya selepas ini.
Baik PRN Johor dan Negeri Sembilan, seterusnya PRU16, PAS akan memisahkan dirinya daripada Bersatu.
Maknanya, PAS akan membawa haluannya sendiri dan terserah kepada Bersatu memilih haluan dan menyediakan jentera pilihan rayanya yang tidak terkait lagi dengan parti itu.
Walaupun tidak disebut mengenai kedudukan PAS dalam PN, sama PAS keluar PN atau PN mengeluarkan Bersatu, tetapi dengan parti itu membuat keputusan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu, PN boleh dianggap sudah kehilangan nyawanyq.
Bahkan PN secara automatik menjadi tidak jadi tidak relevan lagi tanpa PAS di dalamnya.
Seterusnya, dengan kenyataan bahawa PAS akan meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya (electoral pact) demi penyatuan ummah, tanpa keraguan lagi ini memberi isyarat dan petunjuk parti itu sudah ada pilihan lain.
Selain dipercayai kerjasama dan persefahaman itu melibatkan Team Reset yang diketuai Hamzah Zainuddin, diyakini ia turut melibatkan parti lain yang lebih besar dan berpengaruh.
Dalam erti kata lain, jajaran baharu sedang menunggu untuk membawa perubahan kepada masa depan negara ini.
Terlalu awql untuk didetailkan bentuk jajaran baharu itu, namun sebelum PRN Johor dan Negeri Sembilan akan datang. sesuatu yang mengejutkan dijangka akan berlaku.
Apa yang menarik dalam kenyataan media kali ini ialah ia dikeluarkan atas nama Presiden PAS, Haji Hadi sendiri, bukan oleh Setiausaha Agung PAS sebagaimana lazimnya.
Ini sudah tentu membawa mesej yang besar kepada hala tuju PAS dan kepada jajaran baharu yang bakal terbentuk nanti.
Pun begitu, keputusan PAS memutuskan hubungan politik dengan Bersatu sebagaimana dimuktamadkan parti itu secara umumnya disambut dengan rasa syukur oleh pelbagai pihak sejak malam tadi lagi.
Ramai yang mengalu-alukan keputusan itu yang disifatkan terbaik, bukan saja untuk PAS, malahan juga bagi masa depan ummah dan Islam di negara ini. - ShahbudinHusin 09Jun2026.
No comments:
Post a Comment