PEMBANGKANG YANG TIDAK BERGUNA.




 Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan pembangkang hari ini sebagai “paling tidak berguna”, ketika pelbagai isu besar melanda negara dan dunia. 



Beliau menegaskan bahawa pembangkang gagal memainkan peranan semak dan imbang walaupun berdepan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat serta dakwaan panas melibatkan skandal RM9.5 juta.


Khairy turut menyentuh dakwaan ahli perniagaan Victor Chin yang mengaitkan seorang Ahli Parlimen PKR dengan penerimaan RM9.5 juta bagi menyelesaikan isu “mafia korporat”. 


Chin mendakwa bayaran itu dibuat pada Oktober tahun lalu dan memberi amaran akan mendedahkan identiti individu terbabit jika wang tersebut tidak dipulangkan sebelum 30 Mac, sekali gus menambah bara dalam landskap politik negara.


Menurut Khairy, situasi ini sepatutnya menjadi peluang untuk pembangkang “bersinar”, namun sebaliknya mereka dilihat gagal bertindak. 


“Kita benar-benar mempunyai pembangkang yang paling tidak berguna sekarang,” katanya, malah menyindir bahawa harapan untuk menang tanpa usaha bukanlah satu strategi yang meyakinkan.


Beliau juga menyindir Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, dengan mempersoalkan ketiadaan pendirian tegas terhadap isu besar walaupun mempunyai latar belakang sebagai jurutera aeronautik. 


Dalam masa sama, Khairy mempersoalkan mengapa tiada pemimpin pembangkang tampil mengulas dakwaan RM9.5 juta yang kini hangat diperkatakan rakyat.


Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Sumber Manusia, R Ramanan, tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengaitkan dirinya dengan wang tersebut, sambil menegaskan beliau tidak pernah mengenali atau bertemu Victor Chin. 


Namun di sebalik penafian itu, persoalan besar masih berlegar siapa sebenarnya ahli parlimen yang dimaksudkan, dan mengapa masih tiada jawapan tuntas?




No comments: