TAMPILKANLAH DIRI WAHAI 10 MP BN!!



Di sebalik Muhyiddin Yassin kekal mendakwa beliau mempunyai 115 sokongan Ahli Parlimen selepas PRU15 lalu sehingga didakwa layak untuk mengangkat sumpqh, malah telah menyerahkan segala dokumen berkaitan kepada pihak polis semalam, perkara itu sebaliknya disanggah oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi.


Menurut Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin sebenarnya hanya memiliki 105 sokongan Ahli Parlimen saja, bukan 115.


Ini kerana, kata beliau, ada 10 Ahli Parlimen BN telah menandatangani dua SD – satu yang menyokong BN dan satu lagi menyokong  Pengerusi PN itu.


“Sebab itu Muhyiddin sebenarnya  tidak mempunyai sokongan yang cukup untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.


“Saya saksi hidup. 115 SD yang dikatakan ada itu termasuk 10 SD daripada Ahli-Ahli Parlimen yang tandatangani dua SD. 


“Dengan BN mereka tandatangan, dengan PN juga tandatangan” ujar Zahid Hamidi lagi.


Selain itu, Zahid Hamidi berkata, setiap calon BN turut menandatangani tiga dokumen lain sebelum mereka menjadi calon.


“Semua dokumen ditandatangani dirakam dengan video dan dibuat di depan pesuruhjaya sumpah serta tiga peguam.


“Antaranya jika mereka keluar atau menyokong pihak lain, mereka mesti bayar penalti RM100 juta.


“Dua dokumen lagi yang ditandatangani ialah memberi kuasa sepenuhnya kepada Pengerusi BN untuk membentuk kerajaan dan mewujudkan kerajaan campuran atau sebarang tindakan di kearah pembentukan kerajaan.


Dokumen ketiga ialah setuju bahawa kerusi yang ditandingi calon BN adalah kepunyaan parti bukan kepunyaan individu,” tegasnya.


Dalam hal ini, yang menarik untuk diketahui oleh seluruh rakyat Malaysia sekarang ialah siapakah 10 Ahli Parlimen BN berkenaan?


Kenapa mereka menandatangani dua SD?


Antara dua SD itu, yang mana ditandatangani dengan ikhlas dan yang mana pula tanpa kerelaan?


Oleh itu, tampillah wahai 10 Ahli Parlimen BN berkaitan untuk menjelaskan segala kekusutan dan kekeliruan.


Janganlah berdiam diri dan mendekam sunyi seolah-olah dalam isu yang timbul sekarang, mereka tiada apa-apa kaitan.


Hakikatnya, kerana tindakan mereka menandatangani dua SD itulah yang menjadi punca berlakunya kekecohan yang tak sudah-sudah sampai sekarang.


Jika daripada awal mereka tidak menandatangani SD menyokong Muhyidddin, terutama kerana menyedari ada tiga dokumen perjanjian telah ditandatangani terhadap parti, sudah pasti Pengerusi BN tidak mengomel tak puas hati mengapa tidak dijemput ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sampai sekarang dan tidak perlulah juga sampai pihak polis perlu menjalankan siasatan.


Sekali lagi ditekankan, tampilkanlah diri wahai 10 MP!! – ShahbudinHusin 22Ogos2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/08/22/tampilkanlah-diri-wahai-10-mp-bn.html



No comments: