PUAK KHAWARIJ. ELAKUKAN PEMBUNUHAN

 


Pembunuh Saidina Ali ialah seorang guru agama bernama Abdul Rahman bin Muljam al-Muradi - (IBNU MULJAM)


Ramai yang menyangka bahawa si pembunuh Amirul Mukminin Saidina Ali RA pada asalnya adalah seorang yang jahat, tetapi sebaliknya.


Si pembunuh yang dimaksudkan ialah Abdul Rahman bin Muljam al-Muradi yang pada awalnya cukup dikenali sebagai ahli ibadah yang sangat taat perintah Allah.


Selain itu juga beliau merupakan guru agama, ahli al-Quran yang mengajar agama dan al-Quran pada umat Islam pada ketika itu.


Suatu hari Gabenor Mesir, Saidina Amr bin al-‘As RA mengirim surat kepada Amirul Mukminin Saidina Umar RA agar menghantar seseorang paling layak untuk mengajar agama dan al-Quran kepada masyarakat Mesir.


Kemudian Saidina Umar mengutus Ibnu Muljam sebagai memenuhi permintaan Gabenor Mesir.


Ibnu Muljam juga dikenali sebagai seorang guru agama yang sangat kuat beribadah serta mempunyai pengikut yang ramai, siang hari disibukkan dengan berpuasa, manakala malam pula dengan bacaan al-Quran dan solat malam. 


Lidahnya tidak putus dengan zikrullah seolah² beliau merupakan guru agama serta ahli ibadah yang tiada tolok bandingnya pada zaman itu.


Tetapi sayang ibadah dan ketaatannya tidak disertai dengan kefahaman Islam yang sebenarnya menyebabkan Ibnu Muljam sangat taksub dengan ibadah, sehinggakan beliau terpengaruh dengan ideologi sesat Khawarij yang sangat ketat (Ghuluw) dalam perihal agama.


Hanya pendapat dia dan kelompoknya (Khawarij) sahaja yang benar, yang lain semuanya salah dan sesat meski pun sahabat Nabi sekalipun.


Kerana terpengaruh dengan pemikiran yang sesat inilah menyebabkan beliau terlibat dengan komplot pembunuhan pemimpin² umat Islam ketika dan beliau dimandatkan untuk membunuh Saidina Ali RA. Manakala al-Hajjaj al-Tamimi ditugaskan untuk membunuh Saidina Muawiyah bin Abu Sufyan RA.


Pada 19 Ramadan 40h, Ibnu Muljam telah membunuh Khalifah Rasulullah yang ke-4 yang mana ketika itu beliau sedang mendirikan solat Subuh. Selepas kejadian itu Saidina Ali RA cedara parah dan wafat tiga hari selepas kejadian.


Ketika menikam Saidina Ali RA, Ibnu Muljam membaca ayat suci al-Quran dari surah al-Baqarah, ayat 207:


وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ


“Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah Maha Penyantun kepada hamba²Nya.”


Ketika saat hukuman qisas dijatuhkan ke atasnya, Ibnu Muljam sedikit pun tidak kesal dan tidak rasa berdosa atas perbuatannya yang membunuh pemimpin yang amat dicintai oleh Rasulullah SAW, bahkan merupakan Ahlu Bait Baginda yang jelas mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah dan Rasul-Nya sepertimana yang dinyatakan dalam banyak hadis yang sahih.


Malah Ibnu Muljam tetap yakin perbuatannya merupakan suatu jihad serta mendapat keredhaan Allah dan syurga-Nya dan matinya dianggap syahid.


Imam al-Dzahabi berkata mengenai Abdul Rahman bin Muljam:


“Sebelum ini dia seorang ahli ibadah, taat kepada Allah ta’ala. Tetapi akhir kehidupannya ditutup dengan Su’ul Khatimah. Dia telah membunuh Amirul Mukminin Ali RA dengan alasan mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala melalui titisan darahnya. (Siyar A’lam al-Nubala)


Wallahu A’lam


Tok Abah