Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan parti itu tidak akan bergerak solo dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ahmad Zahid berkata, sokongan ahli Umno semata-mata tidak mampu untuk memenangkan parti itu kerana yang menjadi penentu adalah pengundi luar jauh lebih besar.
"Jika sebelum ini kita mengambil pendekatan go solo, adakah ia merupakan langkah terbaik dalam keadaan politik semasa?
"Berdasarkan data dan sentimen sekarang, apakah kelebihan yang kita ada? Dengan pertambahan pengundi baru pula, dapatkah kita menguasai persepsi mereka?
"Ahli Umno sahaja tidak mampu memenangkan kita. Yang menjadi penentu adalah pengundi di luar sana. Yang jauh lebih besar peratusannya. Yang jauh lebih ramai jumlahnya," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata Umno mesti keluar daripada “echo chamber” dan zon selesa.
Katanya, Umno mesti berani berdepan dengan idea-idea baru dan perspektif yang beragam agar tetap relevan dalam lanskap politik yang semakin kompleks.
Ahmad Zahid turut mengingatkan perwakilan Umno bahawa parti itu kini bukan lagi dominan seperti sebelum ini.
Oleh itu, jika Umno ingin membentuk persefahaman, ia perlu dinilai apakah kerjasama mesti dibentuk sebelum memasuki gelanggang pilihan raya ataupun sebelumnya.
"Jika kita ingin membentuk persefahaman pula, apakah bentuk kerjasama yang hendak diterjemahkan.
"Apakah kerjasama sebelum memasuki gelanggang pilihan raya atau selepas pilihan raya barulah dibuat pertimbangan. Kesemua ini memerlukan percaturan semasak-masaknya.
"Sebagai parti yang membentuk sebuah negara bangsa, apa pun pencak politik atau langkah yang hendak diambil, kepentingan negara dan rakyat adalah pra syarat yang tidak akan kita korbankan," katanya lagi.