Oleh: Abdullah Zaid
Polemik perkataan 'kafir' yang
sengaja diambil di luar konteks oleh pihak pro pembangkang untuk memburuk
burukkan imej Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dikhuatiri hanya akan
menyebabkan masyarakat bukan Islam memandang serong terhadap agama Islam serta penganutnya.
Bagi Penyelaras DUN Sungai
Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni, istilah kafir sebagaimana dinyatakan
dalam al-Quran dan hadis adalah untuk menunjukkan perbezaan di antara orang
yang beriman dan orang yang kufur kepada Allah SWT.
Bagaimanapun kata mantan
Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun, Shah Alam itu, penggunaan istilah
tersebut dalam konteks interaksi bersama orang bukan Islam perlulah mengikut
kesesuaian keadaan, tempat dan situasi agar ia lebih harmoni.
"Al Quran menyebut
perkataan kafir tetapi dalam gerak kerja dakwah kita mengelar orang bukan Islam
sebagai non-muslim kerana panggilan itu lembut (uslub dahwah) kepada
mereka," katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian
mengulas isu kafir yang mencetuskan pandangan berbeza dalam kalangan mufti
mengenai perkara berkenaan.
Isu tersebut timbul selepas
tular video ucapan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang dikatakan
mengharamkan penggunaan istilah kafir di rumah dan dalam kalangan anak-anaknya.
Fadhlina bagaimanapun
dilaporkan berkata, video tular itu telah diambil di luar konteks dengan cubaan
jahat mahu mencalarkan imej serta kredibiliti beliau.
Sehubungan itu, Fadhlina yang
juga Ketua Wanita KEADILAN Pusat telah membuat laporan polis ke atas video
terbabit yang berniat mencetuskan kekecohan dalam isu berkaitan 3R (agama,
bangsa dan institusi raja)
Mengulas lanjut, Zawawi yang
juga bekas Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal
Selangor mengingatkan penyokong pembangkang agar lebih berhati-hati dan tidak
membuat kenyataan yang boleh menimbulkan ruang fitnah.
Katanya, kata-kata kesat dan
tuduh menuduh di media sosial tidak akan menguntungkan umat Islam.
"Ucapan video itu
digunakan secara di luar konsensus dan ada yang cuba mengambil kesempatan untuk
mencari sokongan politik.
"Sikap sebegini perlu
dielak kerana hanya akan merugikan umat Islam (menjauhkan bukan Islam)
sahaja," katanya lagi.