KENYATAAN MEDIA PARTI AMANAH NEGARA BERHUBUNG ISU STOKIN YANG TERDAPAT KALIMAH ALLAH DI ATASNYA.





1.  Parti Amanah Negara (AMANAH), mengikuti peristiwa stokin bertulis nama 'Allah' dengan penuh keinsafan dan perasaan amat kecewa. Begitu rendah akhlak pelakunya dan terdesaknya mereka. Namun, untuk menangani keadaan ini, matlamat sebenar di sebalik tindakan ini perlu difikirkan dan dicermati secara tenang dan rasional supaya reaksi kita menepati sasarannya dan kita terpelihara dari keadaan adu domba yang diinginkan oleh musuh Islam dan musuh Negara. Jangan sesekali kita mengambil tindakan secara gelojoh mengikut emosi tanpa usul periksa. Al-Quran mengajar kita untuk "tabayyun" terlebih dahulu supaya tidak akan berlakunya tindakan terlajak sehingga dizalimi pihak yang tidak bersalah.


2. Dalam soal matlamat di sebalik tindakan ini, ada yang mengatakan bahawa matlamatnya adalah untuk menghina Islam. Tetapi usaha menghina Islam itu adalah sekadar kaedah untuk mencapai matlamat sebenar, ia itu berlakunya perbalahan antara kaum dan agama di negara tercinta kita ini. Tidak mungkin ianya sekadar bertujuan menghina Islam kerana tidak mungkin Islam menjadi hina dengan tindakan sebodoh itu. Malahan kesannya pasti sebaliknya. Pelaku sebenarnya akan sudah pasti dimarahi dan kalau ada yang akan terhina ianya adalah pelaku sendiri apabila dikenal pasti. Maka pandangan bahawa ianya dilakukan sekadar untuk menghina Islam  agak meleset dan tidak masuk akal.


3. Oleh itu boleh dirumuskan bahawa matlamat sebenar adalah untuk mengeruhkan lagi suasana politik negara dengan drama "Islam terancam dan tidak dihormati" serta hubungan antara kaum dan agama dijadikan semakin tegang dan meruncing. Keadaan sebegitu akan menguntungkan pihak tertentu kerana persepsi "Islam terancam" dan ketegangan kaum serta agama adalah suatu kelebihan pada mereka.


4. Malangnya apa yang dilihat sedang berlaku sekarang adalah reaksi beremosi tanpa adanya satu usaha untuk menganalisa keadaan dan kemungkinan-kemungkinan disebalik peristiwa ini. Ada golongan dan individu yang ingin menjadi 'juara' tanpa mengambil peduli samada tindakan dan hasutan mereka adalah adil atau sebaliknya. Semua berpaksikan emosi dan pendekatan gelojoh tanpa usul periksa. Ini hanya menguntungkan pelaku sebenar kerana matlamatnya adalah untuk menghasilkan ketegangan dan huru-hara.


5. Malangnya ini semua berlaku pada bulan Ramadhan Al-Mubarak, Ramadhan Kareem. Sedangkan Ramadhan adalah bulan membina ketaqwaan. Dan ketaqwaan itu menuntut keadilan. Allah berfirman di dalam Al-Quran, "Bertindak Adil! Ianya lebih dekat dengan ketaqwaan."


6. Bertindak secara gelojoh dan berpandukan emosi tanpa usul periksa telah menyebabkan kemarahan dituju kepada pemilik rantaian kedai di mana dijumpai 5 pasang stokin-stokin tersebut. Sedangkan dia peniaga dengan kedai-kedai di seluruh negara. Adakah tindakan sebegini akan melariskan perniagaannya? Adakah keadaan huru-hara akan menguntungkannya? Sudah pasti sebaliknya! Maka mengapa dia ingin melakukannya? Kerana dia "anti-Islam"? Bagaimana ingin dikatakan dia anti-Islam sedangkan sumbangannya banyak, termasuk kepada masjid dan surau dan NGO Islam. Gambar-gambarnya bersama Menteri Besar Kedah, yang kononnya antara 'hero perjuangan Islam' pun sudah luas tersebar.


7. Walauapapun, seharusnya diselidik dan disiasat terlebih dahulu sebelum ingin menghukum sesiapa. Dalam kes sebegini tidakkah mungkin stokin berkenaan diselitkan bersama stokin yang ditempahnya tanpa pengetahuannya? Sudah pasti ianya satu kemungkinan. Kecuali dijumpai pesanannya (Purchase Order) kepada pembekal yang menyatakan diinginkan beberapa stokin dengan kalimah Allah di atasnya. Oleh itu biarlah disiasat dahulu sebelum menghukum. Kami ingin menasihati semua, khususnya umat Islam dan orang Melayu, supaya jangan mudah terpengaruh dengan apa yang kemungkinan besar adalah mainan jahat golongan yang berkepentingan atau berniat jahat.


8. Matlamat untuk menghuru-harakan politik negara semakin terserlah dengan dua serangan 'petrol bomb'  yang berlaku terhadap rantaian kedai yang terlibat. Dan tidak mustahil kehadiran agen Israel yang ditahan baru-baru ini adalah juga sebahagian dari perencanaan musuh Negara.


9. Oleh itu AMANAH tidak bersama dengan seruan untuk memboikot rantaian kedai berkenaan dan sebaliknya menyeru semua untuk tidak menghukum dan biarlah siasatan dan perbicaraan diselesaikan oleh pihak-pihak yang berwajib.


10. AMANAH akan sentiasa bertindak berpaksikan prinsip keadilan, tabayyun dan siasat terlebih dahulu dan tidak akan sebaliknya bertindak secara gelojoh tanpa usul periksa atau dipandu emosi semata-mata. Ini adalah kerana sifat politik Islam, yang merupakan asas dan panduan AMANAH ialah politik bertaqwa, iaitu politik yang berpaksikan prinsip keadilan.


Khalid Bin Abd Samad

Pengarah Komunikasi AMANAH