MP ‘ENAM JAHANAM’ KENA AKUR BALA YANg BAKAL TIBA, SPEAKER SUDAH TERIKAT DENGAN AKTA ANTI LOMPAT PARTI


Keputusan paling tepat – itulah kesimpulan yang dapat digambarkan berikutan pindaan perlembaan Bersatu yang diluluskan dalam mesyuarat agung luar biasa parti itu pada 2 Mac lalu kini telah pun mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan atau RoS.


Surat kelulusan berkenaan pindaan perlembagaan bagi memberi hak kepada parti melucutkan keahlian mana-mana wakil rakyatnya yang menyokong parti yang bertentangan diterima oleh ibu pejabat Bersatu hari ini (2 April).


Bersatu mengadakan mesyuarat agung luar biasa yang meluluskan pindaan itu pada 2 Mac, tetapi dokumen memohon kelulusan hanya dibantar pada 11 Mac 2024 dengan Mahiaddin Md Yasin selaku Presiden Bersatu sendiri mengetuai barisan pimpinan yang hadir ke pejabat RoS.


Ibi bermakna, RoS mengambil masa tidak sampai sebulan untuk memberi kelulusan kepada pindaan tersebut.


Syabas dan tahniah, ini baru namanya cekap dan beramanah!!


Keputusan RoS memberi kelulusan yang segera dan dikira pantas ini dianggap tindakan yang tepat kerana:-


Pertama, keputusan RoS itu memperlihatkan kerajaan madani tidak campurtangan daripada segi politik dalam memberi kelulusan kepada permohonan yang dibuat oleh parti musuh.


Asalkan semua dokumen cukup, segala syarat dipatuhi dan tiada perkara-perkara yang meragukan, semua permohonan harus diberi kelulusan tanpa mengira kawan atau lawan.


Kerajaan madani kini dengan sendirinya terhindak daripada pelbagai persepsi buruk dan andaian yang bukan-bukan berhubung pindaan yang dibuat Bersatu itu.


Kedua, dengan lulusnya pindaan ini akan melengkapkan lagi Akta Anti Lompat Parti daripada sebarang kelompongan seperti yang ada sebelum ini.


Ertinya, tiada lagi wakil rakyat, khususnya daripada Bersatu yang boleh mengalihkan sokongan sesuka hati demi manfaat peribadi dan ini akan menjadikan dunia politik Malaysia lebih bersih daripada segala kekotoran yang disengajakan.


Ketiga, secara tidak langsung ini menunjukkan kerajaan madani tidak bergantung sangat kepada sokongan enam Ahli Parlimen Bersatu atau dipanggil “enam jahanam” yang telah mengalih sokongan itu untuk memastikannya kekal sebagai kerajaan.


Tanpa sokongan mereka pun, kerajaan madani sebenarnya mampu berdiri tegak sehingga PRU16 akan datang.


Apa yang dijangka akan dilakukan Bersatu selepas ini ialah mengurus surat kepada enam Ahli Parlimen berkenaan berhubung pendirian politik mereka.


Jika mereka kembali menyokong PN, maka kekallah kerusi Parlimen yang dipegang sekarang.


Tetapi, jika mereka kekal dengan pendirian menyokong kerajaan madani, walaupun tarikh berkuatkuasanya pondaan itu ialah 1 April, kedudukan mereka sebagai Ahli Parlimen secara automatik akan tergugur.


Sebabnya, surat yang bakal dihantar oleh Bersatu nanti pastinya bertarikh selepas 1 April, begitu juga jawapan balas daripada keenam-enam Ahli Parlimen terbabit juga bertarikh selepas 1 April.


Jawapan yang akan diberikan oleh mereka itulah nanti yang akan dijadikan atas tindakan oleh Bersatu seterusnya sama ada menulis surat kepada Speaker memaklumkan kekosongan kerusi Parlimen yang diduduki atau sebaliknya.


Sementara itu, timbul andaian lain yang mengatakan jika pun enam Ahli Parlimen berkenaan kekal menyokong kerajaan madani, kerusi mereka masih tidak boleh diisytiharkan kosong kerana dikatakan masih ada lagi dua proses perlu dilepasi.


Pertama, enam Ahli Parlimen itu pasti akan membawa kes ke mahkamah dan Speaker tidak akan membuat sebarang perisytiharan kekosongan kerusi selagi mahkamah belum membuat keputusan.


Kedua, Speaker membuat keputusan sebaliknya iaitu menolak kekosongan yang diumumkan oleh Bersatu.


Dalam kedua-dua keadaan, baik mahkamah mahupun Speaker Parlimen, oleh kerana pindaan itu telah diluluskan oleh RoS dan bersekali dengan itu, Akta Anti Lompat Parti juga telah berkuatkuasa, hakikatnya tiada apa yang boleh menghalang daripada enam kerusi Parlimen itu daripada dimuktamatkan kekosongannya.


Mahkamah barangkali boleh menolak terus kes tersebut seawal ia difailkan, manakala Speaker kini telah terikat untuk akur kepada ketetapan Akta Anti Lompat Parti.


Lagi pula, Akta Anti Lompat Parti adalah perkara yang diperjuangkan oleh PH ketika memetrai persefahaman dengan kerajaan ketika Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri, nampak peliklah pula nanti jika Speaker Parlimen tidak sealiran dengan akta yang telah diluluskan oleh Parlimen.


Kepada penyokong-penyokong PH, marilah kita seikhlas hati bergembira jika berlaku pilihan raya kecil kerana inilah hukuman yang kita mahu sejak dulu terhadap pengkhianat dalam perjuangan.- ShahbudinHusin 02/04/2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/04/02/mp-enam-jahanam-perlu-akur-bala-yang-bakal-tiba-speaker-sudah-terikat-dengan-akta-anti-lompat-parti.html



No comments: