Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengembalikan semula kes
mahkamah membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dilepaskan tanpa
dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini, tahun lalu.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki
berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan yang boleh dilakukan terhadap
kes membabitkan Timbalan Perdana Menteri itu, susulan keputusan Mahkamah Rayuan
semalam, yang memerintahkan tuduhan salah guna kedudukan membabitkan bekas
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikembalikan ke Mahkamah Sesyen
untuk tindakan lanjut.
Katanya, siasatan oleh pegawai SPRM berhubung
kes Ahmad Zahid juga tidak dihentikan.
“Kita serahkan kepada AGC untuk membuat
keputusan (kes mahkamah Ahmad Zahid). Buat masa sekarang pegawai kita masih
menyiasat, seperti apa yang kita nyatakan dalam mahkamah,” katanya.
Beliau ditemui media selepas perasmian Sidang
Kemuncak Pencegahan Rasuah Kebangsaan 2024 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri
Anwar Ibrahim, di sini hari ini.
September lalu, Mahkamah Tinggi di sini
melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 12 tuduhan pecah amanah, lapan
tuduhan rasuah dan 27 kes pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi yang
diasaskannya.
Pejabat Peguam Negara menjelaskan, permohonan
untuk melepas tanpa membebaskan Ahli Parlimen Bagan Datok itu daripada
keseluruhan 47 tuduhan itu dibuat berdasarkan alasan dikemukakan dan diterima
oleh mahkamah dan disifatkan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah sebagai
kukuh.
Mahkamah Rayuan semalam memerintahkan kes
salah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta untuk Parti
BERSATU berkaitan Projek Jana Wibawa yang membabitkan bekas Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin, dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan
lanjut.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk
Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara dalam membuat keputusan itu selepas
membenarkan permohonan pendakwa raya selaku perayu untuk mengetepikan keputusan
Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Presiden Parti BERSATU itu
daripada empat pertuduhan berkenaan pada 15 Ogos tahun lalu.
Pada 15 Ogos tahun lalu, Hakim Mahkamah
Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pagoh
itu daripada empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah
RM232.5 juta bagi Parti BERSATUberkaitan Projek Jana Wibawa selepas membenarkan
permohonan Muhyiddin untuk membatalkan kesemua pertuduhan itu.
Mengulas lanjut mengenai kes Muhyiddin itu,
Azam berkata tarikh perbicaraan akan diputuskan selepas perbincangan bersama antara
Peguam Negara, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) SPRM yang terbabit dan peguam Ahli
Parlimen Pagoh.
“Tarikh perbicaraan selepas perbincangan
antara mereka pada masa akan datang,” katanya.
Sumber –
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/02/1218058/saranan-kembalikan-kes-ahmad-zahid-sprm-serah-kepada-agc#