LRA BUKIT SELAMBAU: AKMAL TEMPELAK SIKAP SINIS MB SANUSI

 



Masalah bekalan air di Kedah yang seharusnya selesai pada tahun lalu dan diberi penangguhan, mungkin sukar diselesaikan sekiranya kemajuan projek Loji rawatan Air (LRA) berjalan lembab pada tahun ini.

Masalah itu bertambah rumit apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Mohd Nor mendakwa dana berupa geran projek Kerajaan Persekutuan tidak lancar dialirkan ke syarikat di bawah Kerajaan Negeri yang menguruskan projek LRA.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir meluahkan rasa kecewa terhadap sikap MB Kedah berkenaan susulan kelewatan naik taraf LRA di Bukit Selambau.

“Berdasarkan sidang media pada 7 Februari 2024, beliau (Sanusi) seperti semata-mata menyalahkan kenaikan kos harga barang ketika tempoh PKP dan Covid-19, dan seterusnya tohmahan jahat seolah-olah progres projek menjadi perlahan kerana Kerajaan Persekutuan tidak mahu memberi peruntukan tambahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Malah jelas Akmal, lawatannya selama dua hari bermula pada 28 dan 29 Januari lalu mendapat maklumat yang kurang menyenangkan mengenai status pembinaan LRA yang dibiayai Kerajaan Persekutuan itu.

“Projek ini bernilai RM124,900,000 dibiayai melalui geran Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kedah dengan kemajuan fizikal yang direkodkan hanya 21.57% berbanding dengan jadual sepatutnya 49%, iaitu kelewatan sebanyak 27.43%.

“Kebimbangan saya mengenai keadaan bekalan air di Kedah adalah kerana kebocoran air bersih atau air tidak terhasil (NRW) adalah 50.6% dan rizab simpanan air Kedah 0% sejak tahun 2022,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Akmal bersedia untuk tampil menjelaskan isu kelewatan projek sakit tersebut agar rakyat Kedah dapat memahami situasi terkini.

“Insya-Allah, mulai esok saya akan menjawab satu persatu dan dedahkan fakta sebenar,” ujarnya.

Untuk rekod, projek menaik taraf LRA di Bukit Selambau, yang sudah diberi lanjutan tempoh masa (EOT) sepatutnya siap tahun lalu, namun sehingga kini masih gagal disiapkan.

Kegagalan kontraktor menyiapkan kerja menaik taraf LRA di Bukit Selambau menyukarkan rakyat di Kedah terutama pengguna air di daerah Kuala Muda menjelang musim kemarau pertengahan tahun ini.



No comments: