Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyambut baik semua cadangan dan teguran dalam memperbaiki demokrasi dan agenda reformasi di Malaysia.
Ketua Penerangannya, Nabil Halimi berkata, hal itu termasuklah saranan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) serta semua pihak khususnya kumpulan-kumpulan masyarakat sivil yang konsisten mengangkat wacana reformasi
Katanya, KEADILAN sejak awal penubuhannya sehingga ke hari ini tidak pernah berpaling daripada agenda membawa perubahan dan reformasi institusi.
“Sepanjang setahun pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden KEADILAN bersama barisan Kabinet beliau, tidak sedikit penambahbaikan dan reformasi urus tadbir negara diperkenalkan sesuai prinsip yang diperjuangkan selama ini.
“Mencapai sesebuah reformasi adalah jalan panjang dan sentiasa berliku. Ada usaha-usaha berterusan yang bertujuan untuk mengukuhkan prinsip asas reformasi dalam pentadbiran negara hari ini termasuk antara lainnya Prime Minister Question Time (PMQT) di Parlimen selaras prinsip kebertanggungjawaban terhadap kuasa yang diperuntukkan kepada seorang Perdana Menteri.
“Begitu juga dengan lulusnya beberapa Rang Undang-Undang penting yang bertujuan untuk melindungi kepentingan rakyat sesuai tuntutan masyarakat sivil selama ini seperti RUU Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, RUU Anti-Menghendap (Anti-Stalking), RUU Kesatuan Sekerja (Pindaan), RUU Kawalan Produk Merokok serta beberapa lain yang memberi impak kepada perlindungan kepentingan awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Nabil turut membariskan beberapa kejayaan awal reformasi institusi yang tidak wajar dilupakan oleh mana mana pihak seperti Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif serta penubuhan tiga jawatankuasa pilihan khas Dewan Negara meliputi Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Anti Rasuah, Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat.
Katanya, Kerajaan Perpaduan juga melakukan beberapa pindaan untuk memperbaiki undang undang seperti Akta Jenayah Seksual Kanak-kanak 2007 serta pemansuhan hukuman mati mandatori dan hukuman penjara sepanjang hayat.
“Berhadapan dengan beberapa cabaran dari sudut keyakinan awam ke atas institusi pentadbiran dan kehakiman, kerajaan telah pun menyatakan komitmen jangka panjang berkait pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya menerusi Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai usaha memulihkan integriti sistem negara.
“AMK percaya usaha melaksanakan reformasi adalah tidak mudah, dan memerlukan semangat serta iltizam politik yang tinggi daripada seluruh barisan kepimpinan Kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, tegas beliau, reformasi institusi ini harus dilaksanakan secara berperingkat serta penuh hikmah, agar perubahan dapat direalisasikan dengan jaya dan berkesan serta tidak bersifat populis semata-mata.
AMK juga, katanya, menghormati mana mana pihak yang mengkritik secara membina prestasi agenda reformasi dalam kerajaan.
Namun kata beliau, untuk menyegerakan agenda reformasi perlunya sokongan pada daripada NGO terutama yang sebelum ini berjuang bersama Pakatan Harapan sebagai sayap penguat kepada kerajaan.
“Sesungguhnya kami percaya BERSIH perlu mendokong usaha Kerajaan untuk mengembalikan kestabilan politik yang sebenarnya penting dalam usaha mencapai matlamat-matlamat di atas.
“Kestabilan politik ini juga adalah kunci kepada pemulihan ekonomi yang turut sebenarnya harus dititikberatkan sebagai keperluan mustahak untuk melihat reformasi yang berkesan. Kesenjangan dan ketidakadilan ekonomi hanya akan mematahkan cita-cita demokrasi yang diperjuangkan masyarakat sivil.
“Oleh yang demikian, kami menyeru pihak BERSIH untuk tidak hanya terhenti setakat berhimpun untuk menuntut, sebaliknya juga bersedia menghulurkan tangan membantu Kerajaan untuk mencapai pelaksanaan agenda reformasi bersama-sama bagai aur dengan tebing,” katanya.