Malaysia berjaya menarik
potensi pelaburan asing berjumlah RM76.1 bilion sehingga Mac ini, kata Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata angka
tersebut merupakan hasil kejayaan misi perdagangan dan pelaburan negara yang
dilakukan di Australia, Jerman dan Perancis baru-baru ini.
Dalam laporan sebelum ini,
negara ini berjaya mencatatkan potensi pelaburan baru sebanyak RM45.4 bilion
hasil lawatan rasmi ke Berlin minggu lalu.
"Sambutan yang diberikan
oleh negara-negara tersebut amat luar biasa dan ia adalah permulaan baharu bagi
negara.
"Ini…(hasil) persiapan
awal yang telah dilakukan oleh rakan-rakan kita di Kementerian Kewangan,
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Kementerian Luar serta agensi
kerajaan lain termasuklah Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia.
"Umpamanya cip komputer,
kita sudah lihat ia mampu diiktiraf sebagai tarikan pelaburan pertama di Asia
dan ini bukan perkara yang mudah," kata beliau ketika berucap pada
Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.
Anwar yang juga Menteri
Kewangan berkata kejayaan itu merupakan hasil usaha kerajaan dalam menstabilkan
politik dan mendapat kerjasama daripada penjawat awam serta matlamat dan dasar
negara yang jelas.
"Kejelasan dalam dasar
ekonomi kita (penting), yang akan membantu dan memberikan harapan baharu kepada
kita," katanya.
Beliau berkata Jerman mempunyai
ekonomi yang kukuh dan merupakan ekonomi kedua terbesar di Eropah.
"Sambutan yang diberikan
kepada kita sebagai sebuah negara kecil amat membanggakan," katanya.
Bagaimanapun, beliau menekankan
masih terdapat ruang untuk diperbaiki termasuklah dari segi kelulusan projek
tidak dilewatkan.
"Kita juga bersyukur
kerana majoriti penjawat awam masih mempunyai integriti dan mempunyai semangat
untuk memperbaiki (mutu kerja).
"Kita perlu mengekalkan
usaha sedemikian dan jika kita dapat meningkatkannya, saya fikir dalam tempoh
dua atau tiga tahun, wajah Malaysia akan berubah," kata beliau.
Menyentuh laporan tahunan Bank
Negara Malaysia yang dikeluarkan semalam, Anwar berkata angka pertumbuhan dan
unjuran untuk tahun depan adalah positif dan meyakinkan.
"Asas ekonomi Malaysia
terus kukuh dan tinjauan ekonomi bagi tahun 2024 adalah lebih baik berbanding
2023.
"Kita dapat mencapai
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2023 sebanyak 3.7% walaupun berdepan
pelbagai asakkan dan kemeruapan ekonomi global.
"Bagi tahun ini, ekonomi
kita dijangka bertambah kukuh dengan unjuran pertumbuhan antara empat dan lima
peratus," kata beliau.
Anwar berkata antara faktor
yang menyokong prestasi ekonomi lebih baik pada tahun ini termasuklah kadar
pengangguran yang turun kepada paras 3.3% pada Januari 2024, iaitu kembali
kepada paras prapandemik (2022: 3.7%).
Beliau berkata kadar inflasi
rendah apabila turun kepada 1.6% pada suku keempat 2023 berbanding dua peratus
pada suku ketiga tahun lepas.
Prestasi eksport turut
menunjukkan tanda-tanda pemulihan pada Januari tahun ini dengan peningkatan
8.7% selepas menguncup 10 bulan sebelumnya (Mac hingga Disember 2023).
Selain angka-angka positif
makroekonomi, prospek pelaburan negara juga berada pada tahap yang amat baik.
"Pada 2023, kita meraih
pelaburan diluluskan berjumlah RM329.5 bilion iaitu pencapaian tertinggi dalam
sejarah negara," kata beliau.