Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri
Abdul Hadi Awang berkaitan isu pencen penjawat awam mengelirukan orang ramai,
demikian menurut Naib Presiden KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata dakwaan Ahli
Parlimen Marang itu kononnya Kerajaan Persekutuan akan mengurang atau
menghentikan skim pencen dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat semalam tidak
tepat kerana cadangan untuk menyemak semula saraan kakitangan kerajaan tidak menyentuh
penjawat awam sedia ada.
"Hakikatnya, cadangan
kerajaan adalah untuk menyemak semula saraan semua penjawat awam sedia ada dan
mengkaji opsyen pengambilan penjawat awam baharu dengan kaedah persaraan baharu
seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggantikan skim pencen sedia
ada.
"Sebagai seorang yang
mempunyai ilmu agama, Abdul Hadi tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang
tidak memberi gambaran sebenar terhadap cadangan Kerajaan Persekutuan,"
katanya menerusi kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Nik
Nazmi mendakwa Hj Hadi cuba memberi gambaran keliru bahawa caruman KWSP adalah
tidak Islamik sedangkan dana persaraan itu turut memiliki pilihan simpanan
syariah.
"Pilihan simpanan syariah
diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip syariah. Untuk memastikan prinsip
syariah dipatuhi, suatu rangka kerja tadbir urus syariah diwujudkan untuk
mentadbir urus aspek pematuhan syariah bagi simpanan pencarum," katanya.
Nik Nazmi yang juga Pengerusi
Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Kelantan dan Terengganu berkata, cadangan
menggantikan sistem pencen dengan caruman KWSP juga pernah diumumkan oleh
agensi kerajaan Kelantan iaitu Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada 2022 yang
dinamakan Skim Jawatan Tetap Bercarum.
"Mengapa semasa YIK
mengumumkan cadangan ini tiada bantahan daripada Pas kalau hendak dikatakan
KWSP tidak Islamik atau tidak mengikut ajaran Rasulullah SAW," katanya.
Nik Nazmi berkata Pas
seharusnya memiliki tanggungjawab moral untuk memastikan kebajikan guru Pusat
Asuhan Tunas Islam (PASTI) milik parti itu yang ditubuhkan sejak lebih 30 tahun
lepas terjaga, mengambil kira dakwaan guru terlibat tidak memiliki pelan
persaraan termasuk KWSP selain dibayar di bawah paras gaji minimum RM1,500.