Rafizi Ramli
Banyak perkara berlaku dalam negara dan di dunia sekarang.
Perang masih berlanjutan di Gaza dan Ukraine, dengan risiko ia merebak ke tempat lain. Ekonomi China sedang melalui perubahan sehinggakan Kerajaan China terpaksa campur tangan dalam banyak perkara. Beberapa pegawai tertinggi juga telah dipecat.
Di Amerika Syarikat, kesan ekonomi dari zaman COVID belum selesai sepenuhnya. Kadar faedah yang begitu rendah untuk memastikan orang berbelanja semasa COVID, kini diganti dengan kenaikan faedah mendadak dalam 20 bulan yang lepas hingga menyebabkan nilai dolar mengukuh.
Kita juga tidak terkecuali dengan tempias-tempias ini, selain dari perkembangan dalam negara sendiri.
Keputusan Lembaga Pengampunan memendekkan hukuman penjara Dato’ Seri Najib Tun Razak akan terus menjadi bualan. Pandangan mereka yang membantah dan menyokong itu keras, dan saya faham ini satu perkara yang emotif kepada semua.
Tindak balas nilai mata wang dolar yang mengukuh ke atas nilai ringgit terus dirasai.
Walaupun ada beberapa perkembangan positif dalam ekonomi negara sejak setahun lalu (contohnya kadar inflasi yang menurun ke paras paling rendah, peningkatan nilai saham di Bursa Kuala Lumpur, kemasukan pelabur dan pengurus dana antarabangsa, kadar pertumbuhan suku ke suku yang menunjukkan ketahanan ekonomi negara di sebalik kelembapan ekonomi global), semua ini mengambil masa untuk diterjemahkan kepada gaji yang lebih tinggi dan pekerjaan yang lebih baik untuk meningkatkan kuasa beli rakyat dalam suasana kos sara hidup yang lebih tinggi kini.
Kerajaan memahami semua ini dan langkah kerajaan adalah yang meliputi penambahbaikan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
Tetapi ujian sebenar pentadbiran ini ialah mengimbangi keperluan rakyat untuk melihat segera peningkatan mutu hidup, dengan kesabaran rakyat menunggu reformasi ekonomi jangka masa sederhana dan panjang ini membuahkan hasil.
Turun naiknya populariti pentadbiran ini bergantung kepada keupayaan mengimbangi dua keperluan rakyat yang saling bertembung ini.
Selain dari kaedah kaji selidik dan quantitatif yang lain, cara yang paling mudah ialah menilai sendiri reaksi rakyat dengan bertemu orang biasa.
Kaedah inilah yang saya patuhi sejak dari tahun 2011, iaitu kali pertama saya mengumumkan akan merampas kerusi parlimen Pandan dari MCA/BN (ketika itu kubu kuat MCA yang tidak pernah kalah di kerusi Pandan).
Sifir politik saya ialah saya boleh meneka dengan baik pilihan rakyat dengan bertemu rakyat biasa di pasar.
Sebab itu saya tidak pernah tertinggal setiap tahun dari 2011 untuk turun bertemu pengundi Pandan di Pasar Taman Muda (salah satu pasar paling besar di timur Selangor) seminggu sebelum Tahun Baru Cina.
Pertamanya untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi secara peribadi dan terus kepada mereka.
Keduanya untuk mengucapkan selamat tahun baru Cina kepada seberapa ramai dan sama-sama berkongsi suasana kegembiraan dan kekeluargaan.
Ketiganya untuk meminta maaf secara peribadi atas serba kekurangan saya sebagai wakil rakyat (dan saya banyak kekurangan).
Keempatnya untuk menilai sendiri mood rakyat, kerana pengundi Cina selalunya tidak pandai bermuka-muka. Jika mereka bersetuju, mereka menerima buah limau dan senyum. Jika mereka tidak bersetuju, mereka tidak melayan.
Turun padang dan berjumpa pengundi secara peribadi adalah satu kemestian kepada seorang menteri kerana itu satu kaedah “report card” terbaik. Saya boleh rasakan denyut nadi pengundi saya secara bersemuka.
Untuk saya, setiap kali saya turun, ia menguatkan keyakinan saya bahawa rakyat yang biasa-biasa (pekerja bawahan, kumpulan yang bergelumang mencari rezeki setiap hari dan rakyat biasa tanpa kepentingan) adalah orang yang baik-baik.
Mereka mempunyai keikhlasan, daya tahan dan kesabaran yang tinggi.
Di sebalik segala cabaran yang mereka lalui sejak beberapa tahun lalu, mereka kekal menaruh harapan bahawa negara akan menjadi lebih baik.
Dan mood itu diterjemahkan dalam suasana persediaan menyambut Tahun Baru Cina ini.
Terima kasih kepada sahabat-sahabat dan semua penduduk Pandan khususnya, dan seluruh rakyat Malaysia umumnya.
Keikhlasan, daya tahan dan kebijaksanaan anda adalah inspirasi kepada orang seperti saya mengemudi tugas harian saya dalam waktu yang mencabar ini.