PM umum Yang Dipertua Dewan Negara baharu sebelum Mac




Oleh: Helmi Mohd Foad



Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu bagi menggantikan Tun Dr Wan Junaini Tuanku Jaafar akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.



Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kekosongan jawatan tersebut telah dimaklumkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.



"Nama telah dicadangkan dan terserah kepada Perdana Menteri untuk umumkan sebelum sidang Dewan Negara yang dijadual pada pertengahan Mac ini," katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.



Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan bagaimanapun enggan mendedahkan latar belakang bakal Yang Dipertua Dewan Negara yang baharu termasuk dari parti mana.

Jawatan Yang Dipertua Dewan Negara kosong apabila Wan Junaidi dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan bagi tempoh empat tahun bermula 26 Januari 2024 hingga 26 Januari 2028.



Beliau menggantikan Tun Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.



Berdasarkan Takwim Penggal Ketiga Parlimen Kelima Belas 2024, sidang Dewan Rakyat dijadual berlangsung pada 26 Februari ini dengan Titah Diraja daripada Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen.



Sidang disambung pada 18 Mac dengan Usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang berjalan serentak sehingga 4 April.