Negara terlepas untuk melaksanakan polisi mengurangkan harga kereta melalui penurunan cukai eksais sedekad lalu.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mula terkenal di persada politik tanah air sedekad lalu dengan kempen pengurangan harga kereta, suasana ekonomi semasa tidak lagi mengizinkan polisi berkenaan dilaksanakan.
Katanya, pada tahun 2020 atau 2011, perbelanjaan dan hutang negara tidak sebanyak sekarang yang mencecah RM1 trilion.
“Kita juga tahu cukai eksais setinggi 85% – 100% dan pada 2010 kita dapat RM11 bilion cukai kereta.
“Pada ketika itu, bila kita mula nak mengurangkan cukai eksais dan kita tumpu kepada hasil yang lain dalam keadaan sumber pendapatan dan kedudukan kewangan tidak meruncing seperti sekarang, ia (pengurangan harga kereta) boleh dilaksanakan,” katanya dalam siaran podcast bertajuk, “Yang Bakar Menteri EP 1”.
Keadaan pada waktu ini pula, kata Rafizi, tidak membolehkan dipertimbangkan polisi sedemikian rupa kerana dengan kehilangan hasil cukai eksais RM10 bilion negara tidak mampu menggantikannya dengan hasil lain.
“Dalam keadaan perbelanjaan dah dikunci, kita boleh kurangkan harga keretaa tetapi kita kena potong benda lain. Subsidi dulu RM5 – 6 bilion sekarang RM80 bilion, kita kena potong.
“(Dalam hal ini) perkara yang boleh kita struktur semula dahulu tetapi kita tak buat, jadi keputusan itu sukar untuk kita buat dalam kekangan kewangan sekarang,” katanya.
Selain itu, tegas Rafizi, pengurangan harga kereta juga tidak sesuai dengan keadaan rizab minyak negara yang tidak bertambah dan ekonomi dunia pula telah beralih arah kepada pematuhan dasar ekonomi hijau dan tenaga boleh diperbaharui dengan mengutamakan penggunakan kenderaan elektrik.
“Ke hadapan kita akan berhadapan suasana ekonomi kepatuhan perlepasan karbon, kita berdepan keadaan lebih sesuai untuk galakkan pengunaan kenderaan elektrik (EV).
“Orang tanya apa sibuk sangat kepada EV. Dia bukan semata mata perlepasan karbon dan green economy tetapi kita akan sampai satu masa yang mana kita akan mengimport petrol. Jadi kalau masa sekarang kita galak pembelian kereta murah yang melonjakkan penggunaan petrol, kita akan hadapi masalah.
“Saya rasa sebab itu bila dibandingkan sesuatu 10 – 12 tahun lepas. Apabila sesuatu perkara untuk kebaikan rakyat boleh dibuat serta merta maka jangan tangguhkan kerana konteksnya, parameter dan suasana akan berubah dari satu zaman ke satu zaman,” katanya.
Pengurangan harga kereta dijadikan mainan oleh laskar siber pembangkang terutama apabila membuka semula manifesto pilihanraya Pakatan Rakyat pada 2013. Tanpa mengambil kira perkembangan semasa laskar siber pembangkang mempersoalkan mengapakah polisi tersebut tidak dilaksanakan selepas berkuasa.