Dalam kes pengurangan hukuman yang diterima Najib Razak daripada Lembaga Pengampunan, jika kita teliti, yang paling banyak mempertikaikannya ialah penyokong-penyokong bekas Perdana Menteri itu.
Di antara mereka itu, ada yang berkedudukan
dalam kerajaan serta memegang jawatan agak penting dalam UMNO Pusat.
Mereka mempertikaikan dan tidak puas hati
kerana berharap Najib diberi pengampunan penuh dan boleh bebas dengan serta
merta.
Tentulah harapan seterusnya agar Najib boleh
kembali bertanding di Pekan supaya lebih senang untuk dicanang sebagai Perdana
Menteri masa depan.
Selain membandingkan dengan pengampunan Anwar
Ibrahim dulu, ada juga yang seperti menyalahkan Perdana Menteri, konon tidak
membantu untuk membebaskan Najib.
Sebahagian yang lain pula menyalahkan Zahid
Hamidi, juga kononnya kerana tidak memberi tekanan kepada cukup kuat kepada
Anwar bagi pengampunan Najib itu.
Sepatutnya, penyokong-penyokong Najib tidak
mengeluh, marah atau kecewa kerana mana pernah ada banduan selama ini yang
dijatuhi hukuman 12 tahun penjara, tetapi hanya setelah setahun lebih menjalani
hukuman, tempohnya sudah dikurangkan sebanyak 50 peratus, manakala dendan
diberi diskaun 76 peratus.
Beli barang sewaktu mega sale pun tak dapat
diskaun sebanyak itu.
Untuk itu, bersyukurlah.
Tetapi, mereka yang menyokong PH, walaupun
ramai yang berasa kecewa dengan pengurangan hukuman tersebut lantaran merasakan
belum masanya lagi untuk Najib diberi sama ada pengurangan hukuman, apa lagi
pengampunan penuh, apa yang dikehendaki hanyalah alasan atau sebab hukuman itu
dikurangkan.
Mereka secara umumnya sedar keputusan Lembaga
Pengampunan adalah hak serta budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Cuma, kata mereka, kalau keputusan boleh
dibuat, takkan memberi sebab mengapa keputusan tersebut diambil tidak boleh
dijelaskan secara terbuka kepada rakyat jelata.
Begitu pun kali ini, reaksi pemimpin PKR dan
Amanah agak perlahan dan hampir-hampir tidak kedengaran dalam isu Najib ini.
Jika dulu Rafizi Ramli, Saifuddin Nasution
Ismail, Shamsul Iskandar Mohr Akin, Mohamad Sabu dan lain-lain – sebagai contoh
– dilihat begitu sensitif dengan nama Najib dan akan tampil memberi respon jika
ada sesuatu isu timbul mengenai sosok itu, kali ini ramai yang jadi rindu
dengan suara mereka.
Kata seorang teman, baik hati hati betul PKR
dan Amanah kali ini, boleh beri markah terpuji.
Agaknya mereka terlalu ingin menjaga hati UMNO
dan takut parti itu menarik sokongan, lalu kerajaan tumbang di tengah jalan.
Ada juga yang bersuara keputusan Lembaga
Pengampunan itu memperlihatkan kebijaksanaan kerajaan dalam menangani isu Najib
dengan ungkapan manis – menerima mudarat kecil bagi menolak mudarat yang lebih
besar.
Kononnya, jika Najib diampun penuh, pasti
lebih ramai penyokong PH dan rakyat berasa marah, tetapi jika ditolak pula,
UMNO akan terlebih marah.
Maka, sebagai jalan tengah kononnya,
diberikanlah pengampunan separuh dari segi hukuman penjara dan pengampunan 76
peratus dalam denda.
Yang ada bersuara dalam PH hanyalah beberapa
pemimpin DAP yang nampaknya kekal bertahan menolak skandal 1MDB, itu pun
Anthony Loke membisu juga.
Benarkah kerajaan akan tumbang jika
pengampunan Najib ditolak?
Secara matematiknya, UMNO tidak mungkin berani
menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan.
Pertama, kerana jika UMNO dan BN (30 Ahli
Parlimen) berbuat demikian, kerajaan yang kini disokong 154 Ahli Parlimen sama sekali
tidak tumbang.
Sebaliknya, UMNO yang akan melopong.
Lagi pula, UMNO adalah parti yang sudah biasa
dengan kuasa dan menjadi kerajaan.
Tanpa berada dalam kerajaan, UMNO akan menjadi
seperti lelaki yang kematian bini.
Mudah kata, tak mungkin UMNO tinggalkan
kerajaan ini, lagi pun Zahid Hamidi tidak terkesan apa-apa dengan Najib tidak
diberi pengampunan penuh.
Yang kedua, jika UMNO meninggalkan kerajaan,
tidak mustahil yang datang mengganti ialah Bersatu.
Kalau Anwar boleh menerima enam Ahli Parlimen
Bersatu yang berdada lapang memberi sokongan, tentulah tiada masalah juga untuk
beliau menerima jika kesemua Ahli Parliemen parti itu sudi untuk bertandang.
Ini politik, di celah mana pun di dunia ini,
yang dikejar lalah kuasa dan bagaimana untuk menjadi atau berada sebagai
sebahagian daripada kerajaan.
Sebagaimana Anwar akan berusaha mengekalkan
kuasa, yang lain-lain pula sentiasa mengintai ruang untuk bersama.
Silap-silap dengan Pas sekali akan meluru
masuk mengukuhkan kerajaan.
Sebab itu, dalam kes Najib ini, baik Bersatu
mahu pun Pas, mereka juga sama seperti PKR dan Amanah, begitu baik hati dan
berkelakuan terpuji.
Tak lama lagi, penyokong-penyokong Najib pun
sama, terutama yang ada sedikit sebanyak laba dan jawatan dalam kerajaan,
kelakuan mereka pun jadi baik dan terpuji juga. – ShahbudinHusin
07/02/2024.