PENYOKOMG NAJIB HARUS CONTOHI PENYOKONG ANWAR






Ahmad Norazlan


 Ahli parti UMNO yang setia menyokong Najib sewajarnya mencontohi ahli parti KEADILAN yang tetap kekal setia menyokong Anwar sehingga berjaya menggapai impian.


24 tahun ahli dan penyokong Anwar tetap kekal setia dan istiqomah menyokong beliau dengan berkorban masa, tenaga, wang, perasaan dan air mata, malahan darah untuk melihat beliau bebas dan menjadi Perdana Menteri.


Dalam tempoh tersebut dua kali beliau dipenjara, kali pertama di zaman Mahathir dan kali kedua di zaman Najib sendiri.


Dalam tempoh 24 tahun tersebut ramai juga ahli dan penyokong yang mengundur diri dengan pelbagai sebab dan pilihan masing-masing.


Dalam tempoh 24 tahun itu juga pelbagai tanggapan dan hinaan yang dihambur pihak lawan.Anwar PM tepi, Anwar berangan dan tidak akan jadi Perdana Menteri hingga ke mati dan lain-lain lagi.


Perpecahan parti, ahli dan penyokong beberapa kali berlaku dalam tempoh 24 tahun tersebut.


Kesabaran dan tekad Anwar, ahli parti dan penyokong yang kekal setia selama 24 tahun dibayar dengan keajaiban tatkala Anwar menjadi Perdana Menteri dengan perkenan Agong dan Raja-Raja Melayu dan pastinya dengan izin Allah jua.


Secara peribadi aku yang terheret ke dunia politik sejak peristiwa pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri diikuti peristiwa gerakan Reformasi dan pemenjaraan Anwar seterusnya pembebasan beliau kali pertama pada tahun 2004, diikuti pemenjaraan kali kedua beliau pada tahun 2015 serta pembebasan kali kedua pada tahun 2018, juga berdepan dengan pelbagai pengalaman pahit dan manis silih berganti.


Tidak semua tindakan dan keputusan beliau yang disokong, tetapi matlamat tetap sama dan jelas, yakni Anwar mesti bebas dan akhirnya menjadi Perdana Menteri.


Beliau bukan kenal kita secara peribadi pun dan tidak akan kenal setelah menjadi Perdana Menteri.Yang penting beliau melaksana amanah sebaik mungkin demi rakyat dan negara sepanjang penggal ini.


Hampir sepuluh tahun Anwar merengkok di dalam penjara dan dua kali terpenjara, namun harapan dan impian ahli dan penyokong setia beliau tetap kekal, walau adakalanya harapan dan impian serasa pudar sepanjang proses perjuangan yang lama tersebut.


Apa sangat Najib yang baru setahun jagung dipenjara, masakan ahli dan penyokong beliau begitu mudah putus harapan.


Sekurang-kurangnya Najib tidak dibelasah dan matanya didapati lebam.Siap boleh bergaya memakai kot dan bertali leher lagi setiap kali ke mahkamah.


Perjuangan pastinya memerlukan pengorbanan serta pastinya akan diiringi siri pengkhianatan oleh pengambil kesempatan.


Semoga ahli UMNO sebagai sebuah parti yang lebih lama dan lebih berpengalaman daripada KEADILAN tetap kekal setia dan istiqomah.


Tidak perlu kita mendoakan kehancuran parti lain kerana ianya tidak seiring dengan semangat dan amalan demokrasi negara.