PETISYEN SEJUTA TANDATANGAN KEPADA AGONG, HARAP-HARAPNYA SEMUA TANDATANGAN YANG DIKUMPUL ADALAH ASLI

 

Sebagai langkah susulan setelah kecewa kerana Najib Razak tidak diberi pengampunan penuh , UMNO kini mengorak langkah untuk mengumpul sejuta tandatangan di kalangan ahlinya di seluruh negara untuk dipersembahkan kepada Yang di-Perfuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sejuta tandatangan yang bakal dipersembahkan itu adalah sebagai rayuan kepada Agong agar sedia menimbang semula keputusan Lembaga Pengampunan sebelum ini dan menukarnya kepada pengampunan penuh.

Arahan mengumpul tandatangan itu diberikan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam perjumpaan dengan Ketua-Ketua UMNO Bahagian yang diadakan petang semalam.

Bermula hari ini, semua bahagian UMNO difahamkan sudah mula mengedarkan borang kepada Ketua-Ketua cawangan untuk mereka mengutip tandatangan daripada ahli di cawangan masing-masing.

Borang yang sudah ditandatangani dikatakan dikehendaki dikembalikan semula kepada semua pejabat UMNO bahagian sebelum 4.30 petang, 8 Februari depan.

Bermakna, usaha mengumpul sejuta fandatangan itu hanya diberi tempoh masa selama empat hari saja.

Boleh dapat ke sejuta tu?

Harapnya, jika benar berjaya dikumpul sejuta tandatangan nanti, tandatangan yang dikumpul dan bakal dipersembahkan kepada Agong itu adalah tandatangan asli daripada nama-nama yang disenaraikan itu.

Janganlah pula nama ahli saja yang disenaraikan, tetapi mereka yang berkenaan tidak pernah pun menurunkan tandatangan.

Maksudnya, orang lain atau mungkin Ketua Cawangan saja yang menandatanganinya bagi pihak nama-nama yang disenaraikan itu.

Jangan begitu ya…sebab semua tandatangan itu hendak dipersembahkan kepada Agong, ketua negara yang kita semua wajib setia, tidak boleh derhaka dan tidak boleh berbuat dusta.

Persoalan lain, wajarkah pengumpulan tandatangan ini dilakukan?

Sebagai parti yang berada di dalam kerajaan, kenapa UMNO bertindak seolah-olah mereka pembangkang kerana menghantar petisyen dalam bentuk sejuta tandatangan lebih berupa desakan daripada luar kerajaan kepada Agong?

Patutkah parti dalam kerajaan berbuat demikian?

Selain itu, sebagaimana disebut oleh Perdana Menteri sendiri, keputusan Lembaga Pengampunan adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Jika sudah muktamad dan tidak boleh dicabar, bererti ia juga tidak boleh dirayu.

Lagi pula, kalau semua banduan yang dipenjarakan hendak dibebaskan dengan cara menghantar petisyen rayuan dengan cara mengumpul sejumlah tandatangan daripada penyokong-penyokong sendiri, lebih baik tutup saja semua penjara di negara ini.

Nanti semua orang yang di dalam penjara pun hendak buat petisyen rayuan juga. – ShahbudinHusin 05/02/2024.

5

Article Rating