Sebagai langkah susulan setelah kecewa kerana
Najib Razak tidak diberi pengampunan penuh , UMNO kini mengorak langkah untuk
mengumpul sejuta tandatangan di kalangan ahlinya di seluruh negara untuk
dipersembahkan kepada Yang di-Perfuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sejuta tandatangan yang bakal dipersembahkan
itu adalah sebagai rayuan kepada Agong agar sedia menimbang semula keputusan
Lembaga Pengampunan sebelum ini dan menukarnya kepada pengampunan penuh.
Arahan mengumpul tandatangan itu diberikan
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam perjumpaan dengan Ketua-Ketua UMNO
Bahagian yang diadakan petang semalam.
Bermula hari ini, semua bahagian UMNO
difahamkan sudah mula mengedarkan borang kepada Ketua-Ketua cawangan untuk
mereka mengutip tandatangan daripada ahli di cawangan masing-masing.
Borang yang sudah ditandatangani dikatakan
dikehendaki dikembalikan semula kepada semua pejabat UMNO bahagian sebelum 4.30
petang, 8 Februari depan.
Bermakna, usaha mengumpul sejuta fandatangan
itu hanya diberi tempoh masa selama empat hari saja.
Boleh dapat ke sejuta tu?
Harapnya, jika benar berjaya dikumpul sejuta
tandatangan nanti, tandatangan yang dikumpul dan bakal dipersembahkan kepada
Agong itu adalah tandatangan asli daripada nama-nama yang disenaraikan itu.
Janganlah pula nama ahli saja yang
disenaraikan, tetapi mereka yang berkenaan tidak pernah pun menurunkan
tandatangan.
Maksudnya, orang lain atau mungkin Ketua
Cawangan saja yang menandatanganinya bagi pihak nama-nama yang disenaraikan
itu.
Jangan begitu ya…sebab semua tandatangan itu
hendak dipersembahkan kepada Agong, ketua negara yang kita semua wajib setia,
tidak boleh derhaka dan tidak boleh berbuat dusta.
Persoalan lain, wajarkah pengumpulan
tandatangan ini dilakukan?
Sebagai parti yang berada di dalam kerajaan,
kenapa UMNO bertindak seolah-olah mereka pembangkang kerana menghantar petisyen
dalam bentuk sejuta tandatangan lebih berupa desakan daripada luar kerajaan
kepada Agong?
Patutkah parti dalam kerajaan berbuat
demikian?
Selain itu, sebagaimana disebut oleh Perdana
Menteri sendiri, keputusan Lembaga Pengampunan adalah muktamad dan tidak boleh
dicabar di mana-mana mahkamah.
Jika sudah muktamad dan tidak boleh dicabar,
bererti ia juga tidak boleh dirayu.
Lagi pula, kalau semua banduan yang
dipenjarakan hendak dibebaskan dengan cara menghantar petisyen rayuan dengan
cara mengumpul sejumlah tandatangan daripada penyokong-penyokong sendiri, lebih
baik tutup saja semua penjara di negara ini.
Nanti semua orang yang di dalam penjara pun
hendak buat petisyen rayuan juga. – ShahbudinHusin 05/02/2024.
5
Article
Rating