Kelantan harus mencontohi Negeri Sembilan,
yang meminda enakmen syariahnya selepas kalah dalam kes terhadap Juzaili Khamis
di Mahkamah Rayuan pada 2015, kata G25.
Kumpulan bekas penjawat awam kanan itu
berkata, dalam kes itu, mahkamah memutuskan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah
(Negeri Sembilan) 1992 bercanggah dengan Perlembagaan kerana ia melanggar
peruntukan kebebasan asasi.
“Kerajaan Negeri Sembilan mematuhi penghakiman
Mahkamah Rayuan itu. Pada 2019, kerajaan negeri mengambil inisiatif meminda
Seksyen 66 sewajarnya agar peruntukan itu selaras dengan Perlembagaan.
“Mahkamah Rayuan juga memutuskan, walaupun
Perkara 3(1) mengisytiharkan bahawa Islam ialah agama persekutuan, namun amalan
Islam di negara ini ditadbir oleh peruntukan-peruntukan Perlembagaan.
“Perkara 3(4) mengisytiharkan bahawa tiada
apa-apa jua dalam perkara ini mengurangkan mana-mana peruntukan lain dalam
Perlembagaan,” katanya sambil menambah, menjadi tanggungjawab negeri untuk
memastikan enakmen selaras Perlembagaan.
Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu
berkata, penasihat undang-undang negeri perlu berpengetahuan dalam
undang-undang Perlembagaan.
Mereka mesti sentiasa berwaspada ketika
undang-undang digubal oleh negeri dan berani menasihati kerajaan negeri
mengenai pembahagian kuasa perundangan antara negeri dan persekutuan, serta had
kuasa perundangan negeri, katanya.
“Kami amat berharap kerajaan Kelantan menerima
keputusan Mahkamah Persekutuan dengan semangat yang betul dan melakukan yang
sewajarnya untuk meminda kanun jenayah syariah negeri.”
Semalam, Mahkamah Persekutuan membatalkan 16
peruntukan dalam enakmen syariah Kelantan kerana didapati bercanggah dengan
Perlembagaan.
Mengumumkan keputusan majoriti 8-1 panel
hakim, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat berkata, DUN tiada kuasa
meluluskan peruntukan-peruntukan berkenaan dalam enakmen itu kerana kesalahan
terbabit sudah dirangkumi undang-undang persekutuan.
Dalam pada itu, G25 menzahirkan kebimbangannya
berhubung kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, semalam.
Beliau melabel keputusan mahkamah itu sebagai
“Black Friday” atau ‘peristiwa hitam’ buat umat Islam dan negara.
“Beliau sepatutnya menasihati orang ramai
supaya menghormati penghakiman Mahkamah Persekutuan dan mengambil iktibar
daripada keputusan itu, bukannya mengambil kesempatan mempolitikkan isu itu.”
Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/02/10/keputusan-mahkamah-berhubung-enakmen-syariah-ada-duluan-kata-g25/