Harapan Sarawak negeri berstatus maju 2030 makin cerah



Oleh: Noraini Nordin



ULASAN BERITA: Sarawak nampaknya sudah mempunyai sasaran tersendiri ke arah memajukan lagi negeri tersebut bagi tahun 2024.



Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dilaporkan berkata, terdapat tiga perkara utama yang menjadi tumpuan negeri itu dalam melangkah ke tahun 2024, iaitu pengambilalihan Pelabuhan Bintulu, mempunyai syarikat penerbangan sendiri dan mempunyai kepentingan utama dalam bank perdagangan.



"Kita ingin mengambil semula Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan, ini bukan sahaja kerana ia sepatutnya berada di bawah kuasa Sarawak mengikut Perlembagaan Persekutuan tetapi juga kerana Sarawak perlu merancang secara menyeluruh pembangunan pelabuhannya yang merangkumi keseluruhan negeri termasuk kawasan pedalaman yang kaya dengan pelbagai sumber.



"Kita juga menetapkan matlamat ingin memiliki syarikat penerbangan sendiri kerana dengan memiliki syarikat penerbangan itu bukan sahaja untuk menyediakan laluan ke destinasi terpilih di rantau Asia tetapi ia juga sebagai pelaburan dalam mewujudkan hubungan udara antara Sarawak dan seluruh wilayah bagi meningkatkan perniagaan dan pelaburan di negeri ini.



"Perkara ketiga yang kita fokuskan iaitu mempunyai kepentingan utama dalam bank perdagangan adalah bagi menyediakan Sarawak sebagai platform kewangan ke arah meningkatkan lagi ekonomi melalui pembangunan PKS dan keusahawanan," katanya.



Destinasi ekonomi lebih baik



Setelah berjaya mencapai beberapa perancangan yang diatur pada tahun lalu, matlamat 2024 Sarawak tidak lain adalah bakal menghidangkan negeri tersebut sebagai destinasi ekonomi yang lebih baik, sekaligus memberi limpah kenikmatan kepada rakyatnya.

Description: https://static.wixstatic.com/media/4449e2_d2248e99665641fdbc2f2b9534f48070~mv2.jpg/v1/fill/w_350,h_557,al_c,q_80,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/4449e2_d2248e99665641fdbc2f2b9534f48070~mv2.jpg



Tahun lalu Sarawak berjaya mencapai beberapa perkara yang dirancang, terutamanya penubuhan Dana Kekayaan Negara dan Masa Depan Sarawak (SSWF) dengan modal permulaan RM8 bilion dan peruntukan tahunan progresif antara RM400 juta hingga RM600 juta sehingga 2034 daripada kerajaan negeri.



"Sarawak juga mempunyai simpanan yang kukuh dan pendapatan terus meningkat setiap tahun dengan pada tahun 2023 berjaya merekodkan hasil sebanyak RM13.3 bilion," kata Tan Sri Abang Johari lagi.



Status negeri maju pada 2030



Berdasarkan kepimpinan Sarawak yang lebih mengutamakan kestabilan dan sentiasa ingin bekerjasama rapat dengan Kerajaan Pusat, terbukti pendekatan yang diambil adalah amat tepat.



Dengan itu, Sarawak hampir pasti tidak berdepan banyak masalah untuk mencapai status menjadi negara maju pada tahun 2030 akan datang.



Kepimpinan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat seperti inilah yang menjadi idaman rakyat.



Tahniah Sarawak, pemimpin yang berwawasan pasti bijak menggunakan peluang untuk manfaat rakyat.

__________________________________________________________________________________

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat