Saturday, February 10, 2024
Oleh : MSO - Mohd Sayuti Omar
ISU terbaru yang membungai kubang politik negara hari ini, ialah isu pemansuhan (pencabutan) 18
peruntukan dalam Enakmen Kanun Jernayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan semalam.
Apa diputuskan mahkamah itu tidak disenangi oleh sebahagian yang lain, khususnya golongan pembangkang yang sifatnya macam kutub utara dengan kutub selatan, bertentangan, tetap tidak akan menerima setitik pun kebaikan dari kerajaan.
Sementara mereka yang cetek pengetahuan dan malas menyelidik serta asyik dengan lagu dendangan pembangkang, pula mudah percaya dan cair dengan muslihat pembangkang membuat tafsiran, merekacipta fatwa dan hukuman, tindakan mahkamah itu sebagai mengancam Islam. Keputusan mahkamah itu sebagai langkah untuk menyekat perlaksanaan syariah Islam dalam negara ini.
Lebih teruk dan melampau ada yang menyifatkan peristiwa semalam adalah sejarah hitam Black Friday (bukan Jumaat yang bertuah) dan tindakan mahkamah itu diprejudis cuba mengkafankan syariah Islam di negera ini. Di mana tindakan itu menurut mereka lebih buruk dan zalim daripada pemerintahan Inggeris yang tidak pernah berbuat demikian. Seenaknya mereka membandingkan kerajaan hari ini dengan kerajaan penjajah.
๐๐ฎ๐๐บ ๐๐๐๐ต.
Ada si papa akal menyifatkan negara ini tunduk kepada golongan Nabi Luth, dengan putusan itu, kononya Mahkamah Persekutuan dan penal hakim diketuai Tengku Maimun Tuan Mat itu sebagai kumpulan Luth, kumpulan yang dikeji dan dilaknat Allah. Nauzubillahiminzalik.
Begitu sadis dan dangkalnya ulasan sesetengah pihak terhadap berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan semalam. Darjat dan nilai pembangkang kita sangat rendah dan menghinakan. Pembangkang di era Hamzah Zainuddin jadi ketuanya bukan sahaja miskin ajal tetapi sangat buruk moral politik.
Kalau pembangkang tidak dapat menerima keputusan mahkamah itu perkara biasa. Pembangkang tidak terkecuali, dari parti mana sekali pun, selagi ia bernama pembangkang, apa lagi dalam dimensi politik Malaysia, mereka akan mengeskploitasikan apa juga isu untuk kepentingan mereka.
Pembangkang boleh menjadikan perkara mudah dan senang menjadi rumit dan sukar, mengeliru dan menukar maksud asalnya. Boleh memutar belitkan apa sahaja isu bukan sekadar 45 darjah, tetapi sampai 360 darjah atau lebih.
Itulah kepintaran dan ketangkasan pembangkang. Pembangkang bijak main kata-kata, sesuatu yang waras menjadi tidak waras dan sebalikmya. Pembangkang jagoan dalam menukar warna tubuh mereka macam chemelon dari putih kepada hijau, hijau ke merah dan apa-apa warna sahaja. Pembangkang ada haiwan bervariasi. Pembangkang lebih anggun daripada ular yang bijak dan tangkas membelit mangsa.
๐ ๐ฒ๐ป๐ด๐ธ๐ฎ๐ณ๐ถ๐ฟ๐ธ๐ฎ๐ป ๐ผ๐ฟ๐ฎ๐ป๐ด.
Dalam konteks hari ini senang-senang mereka menganggap pihak lain yang tidak semasjid denganya sebagai kafir. Mereka yang tidak menaikkan panjinya dianggap penentang Islam dan pengkhianat agama. Contohnya seperti isu RUU 355 suatu masa dahulu. Pembangkang dan agen-agennya membuat fatwa jijik dan hukuman, mereka yang tidak menyokong dan menolaknya sebagai kafir, menentang Islam dan sebagainya. Jika mati jenazah mereka yang tidak menerima RUU 335 perlu dimakamkan di jerat Cina.
Tetapi ke mana akhirnya RUU 355 diperjuangkan itu. Apabila mereka diberi kesempatan dan kuasa untuk melaksanakan, ada-ada sahaja helah dan alasan bagi tidak melaksanakannya, kononnya ia ada pertindihan dan percanggahan dengan perlembagaan. Walhal permasalahan itu sudah lama dijelas dan dikhuatirkan, tetapi tidak dipedulikan. Dasar mutlak pembangkang apabila sesuatu itu terkena atas batang hidung mereka, baru hendak mengadah. Mungkin semua pejuang RUU 355 sudah tidur dalam syurga?
Nah, begitu juga dengan isu yang berlaku semalam. Pembangkang tidak mengkaji dan menganalisis di mana punca masalahnya. Tentang kes semalam punca salah dan silapnya, ketidakcekapan, atau "cakduh" pihak Dun Kelantan yang menggubal dan melulusklan undang-undang (enakmen) berkenaan tanpa melihat keselarasan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Dun Kelantan tidak belajar dari sejarah pernah dilalui dewan berkenaan. Tahun 1990an sudah tercatat sejarah, suatu undang-undang atau akta digubal oleh Dun berkenaan terbatal kerana bertentangan dengan perlembagaan. Undang-undang berkenaan ialah undang-undang anti lompat parti. Sejarah yang dicatat oleh bekas Adun (Nordin Salleh) daripada Semangat 46 yang dibatalkan kemenangan setelah ia lompat parti patut dibawa ke mahkamah kemudian dia menang, patut dijadikan iktibar.
Nordin merujuk pemecatan atau pembatalannya sebagai Adun menurut undang-undang digubal oleh Dun Kelantan itu kepada mahkamah. Apa jadi, mahkamah membatalkan tindakan itu kerana undang-undang digubal oleh Dun Kelantan itu tidak berlaku. Kenapa kerajaan Kelantan tidak mengambil iktibar atas apa yang berlaku dan kesannya sebelum menggubal Enakmen Syariah berkenaan? Inilah kekhilafan dan kelalaian yang memburukkan diri sendiri.
๐ง๐ถ๐ฑ๐ฎ๐ธ ๐๐ฒ๐ป๐๐ฎ๐ป๐ด ๐๐๐น๐ฎ๐บ.
Dan jika difaham isu semalam, petiysen yang dibawa oleh Nik Elina Zurina Abdul Rashid bersama anaknya itu, mudah sahaja untuk mengerti. Nik Elina Zurina hanya menggunakan locus standi yang ada kepadanya sebagai warga Kelantan, minta semakan dari perundangan (konsitusi) berhubung dengan enakman yang diperbuatkan di Dun Kelantan itu di mana pada hematnya ada kecacatannya, kontras dengan Perlembagaan. Sekadar itu sahaja. Jika kita ikhlas dan jujur, jauh sekali dia cuba menentang dan menolak hukum Islam.
Tetapi atas perbuatan Nik Elin Zurina itu, itulah yang disuluh dan diprejudiskan bahawa Nik Elin mempunyai niat jahat, menentang Islam bahkan ada yang menggelarnya murtad, tanpa pembangkang menilai dan menilik diri mereka sendiri yang ada eleman jahat dan kebodohan nyata.
Penolakan enakmen syariah Kelantan oleh Mahkamah Persekutuan itu tidak pun ada kena mengena dengan penolakan hukuman Islam. Enakmen yang digubal itu termasuk dalam hukum hudud dan qisas tetapi ia berkaitan dengan hukum takzir semata-mata.
Ahli undang-undang rasanya memahami hakikat dan perbezaan ini. Tetapi bagi pemain politik (pembangkang) dan para simpatinya, sengaja tidak mahu memahaminya dan sengaja MENJAHIL MURAKABKAN DIRI kerana kepentingan politik. Apa yang mereka faham itu diberikan kefahaman sebaliknya kepada pengikut dan rakyat di bawah, apa lagi mereka arif isu itu adalah modal politik rangkup buat mereka.
Alasan atau huraian diberikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat sangat jelas dan sangat tuntas boleh dibaca dan dihayati. Tidak sukar untuk memahaminya. Mereka yang tidak disabuni oleh Tok Dor Hadi dapat memahami dan mengerti.
Huraian Ketua Hakim Negara itu seperti dipetik; "jika ada pihak mencabar undang-undang digubal oleh Badan Perundangan Negeri yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah atas alasan ia tidak memiliki kuasa untuk berbuat demikian dan jika Mahkamah Sivil membenarkan cabaran itu, pihak yang mencabar dan Mahkamah Sivil tidak boleh dikatakan menentang Allah kerana undang-undang yang dicabar bukanlah sesuatu yang ditentukan atau ditetapkan oleh Allah sebaliknya oleh Badan Perundangan Negeri."
Ertinya; cabaran (petisyen) dibuat Nik Elin Zurina itu bukan merupakan satu penentangan terhadap hukum Allah, tetapi mencabar kanun bikinan manusia tidak maksum. Hanya pembangkang bersenandung demikian demi kepentingan politik mereka. Begitu sadis dan dangkalnya ulasan sesetengah pihak terhadap berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan semalam.
Tegas Tengku Maimun lagi keputusan Mahkamah Persekutuan itu sebagai hendak menggugurkan Islam, adalah tidak benar.
Beliau menjelaskan dan memberi jaminan, Mahkamah Syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur dan diletakkan batu nisan seperti didakwa oleh peguam Yusfarizal Yusof kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kuasa perundangan kepada semua kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah.
"Ditegaskan sekali lagi bahawa apa yang dicabar dalam petisyen ini bukanlah kedudukan undang-undang Syariah di Malaysia," katanya.
Sebaliknya menurut Tengku Maimun, "Dakwaan pempetisyen adalah khusus terhadap tindakan Badan Perundangan Negeri Kelantan, yang mengikut hujahan pempetisyen telah melangkaui kuasa berkenaan jenis-jenis kesalahan yang boleh diluluskan oleh Kerajaan Negeri dalam ruang lingkup yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan."
Beliau lantas meghurai lajut lebih jelas, terdapat tiga jenis hukuman di bawah undang-undang Islam iaitu hudud, qisas dan takzir. Hudud dan qisas ditentukan dan ditetapkan oleh Allah, manakala qisas ialah hukuman yang dikenakan hukuman balas seperti nyawa dibalas dengan nyawa dan melukakan dibalas dengan melukakan.
"Seperti hudud, qisas juga ditentukan oleh Allah. Perbezaan antara hudud dan qisas ialah hukuman qisas ini hendaklah dituntut oleh mangsa atau keluarga mangsa. Diyat yang bermaksud pampasan atau ganti rugi adalah sebahagian daripada hukuman qisas.
"Takzir pula adalah hukuman yang tidak ditentukan oleh Allah tetapi kadar dan bentuk hukuman ditentukan oleh kerajaan/pemerintah dan akan dijatuhkan kepada penjenayah mengikut budi bicara hakim," katanya.
Tengku Maimum berkata setakat hari ini, Mahkamah Syariah di Malaysia tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas tetapi hanya takzir, sama seperti Mahkamah Sivil. Justeru menurutnya, tidak ada bezanya Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil kerana kedua-dua sistem melaksanakan hukuman takzir.
Perbezaannya cuma hukuman takzir yang dilaksana oleh Mahkamah Syariah adalah bersumberkan atau mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat negeri dan diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri, manakala hukuman takzir yang dilaksana oleh Mahkamah Sivil adalah mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat Persekutuan dan diluluskan oleh Parlimen.
"Ingin juga dinyatakan bahawa hukuman takzir Mahkamah Syariah adalah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang setakat hari ini mengehadkan hukuman penjara kepada tempoh tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebat tidak melebihi enam kali," katanya.
Jika semua pihak jujur memahami penjelasan Tengku Mimun tidak terlalu obses bermain politik, jelas keputusan Mahkamah Persekutuan semalam tidak memberi kesan buruk apa lagi menggugurkan hukum Islam di negara.
Diharap semua pihak meletakkan kepecayaan dan keyakinan kepada kepakaran pengamal undang-undang negara teristimewanya kepada para hakim. Sekiranya kita meragui akan kejujuran dan tanggungjawabnya, dan tetap terus menajdi ULAR dalam keadaan apa sekali pun ia merugikan bukan sahaja bangsa, negara bahkan ia juga mencemarkan agama yang kita yakini. Bijak bijak dan cerdiklah bermain politik.