BETULLAH KATA ORANG, PAS SENTIASA ADA DALIL

 


PAS tidak mendesak ‘secara agresif’ penganjuran konsert ketika mentadbir bersama Putrajaya dari 2020 hingga 2022 kerana mahu menyelesaikan perkara lebih penting, kata Mursyidul Am Hashim Jasin.

Bercakap kepada FMT, Hashim berkata pihaknya tidak boleh melaksanakan atau menyelesaikan pelbagai perkara sekali gus dan keadaan itu sama seperti ketika PAS mula memerintah Kelantan pada 1990.

Menurutnya, PAS menyelesaikan masalah dan memperkenalkan 100 inisiatif untuk rakyat secara berperingkat, bukan pada penggal pertama pemerintahannya di negeri pantai timur itu.

“Walaupun kita bantah (konsert) tetapi kita bagi keutamaan terhadap apa yang kita patut bangkitkan semasa kita memerintah.

“Tak boleh nak buat semua sekali gus. Kalau dahulu semasa memerintah sekejap (2020-2022) bukan tak nak bangkit tapi ada perkara lain lebih utama untuk kita beri perhatian,” katanya.

Bagaimanapun bekas Adun Sanglang itu tidak menjelaskan masalah menjadi keutamaan PAS ketika menjadi sebahagian kerajaan bersama Bersatu, Barisan Nasional, dan Gabungan Parti Sarawak sebelum PRU15.

Kelmarin, bekas menteri Khairy Jamaluddin berkata PAS tidak pernah secara agresif mendesak konsert dibatalkan ketika berada dalam kerajaan di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Bertanggungjawab dalam portfolio kesihatan ketika itu, Khairy berkata Idris Ahmad iaitu naib presiden PAS hanya minta jumlah konsert dikurangkan.

Hashim berkata bantahan terhadap konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 24 Februari ini dibuat kerana diadakan menjelang Ramadan. Umat Islam dijangka berpuasa pada 12 Mac depan.

“Itu kena tunjuk sikap kita,” kata Hashim mengulas gesaan Dewan Ulama PAS supaya konsert bintang pop itu dibatalkan kerana Sheeran menyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pula pula menegaskan PAS sentiasa menyatakan bantahan di luar mesyuarat Kabinet seperti dibuatnya ketika mengetuai sayap Pemuda parti itu.

“Bantahan sering diutarakan termasuklah di dalam Dewan Rakyat,” katanya.

Untuk rekod, Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mengetuai bantahan Pemuda PAS terhadap Konsert Billie Eilish: Happier Than Ever, The World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Beliau menyifatkan penganjuran banyak konsert sebagai “kerja gila” menjemput kemurkaan Allah. Bagaimanapun, konsert itu diteruskan mengikut jadual.

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/02/02/ada-isu-lebih-penting-daripada-konsert-pas-jawab-kj/

5

 


No comments: