Terdapat kecenderungan yang ketara, malah
semacam berlebih-lebihan di kalangan para penyokong Najib Razak dalam
menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Lembaga Pengampunan WP
berkaitan bekas Perdana Menteri itu.
Selain beberapa pemimpin UMNO yang pro Najib
memberi kenyataan terbuka yang tidak senang dan mengecam pengampunan separuh
itu, UMNO sendiri turut terbawa-bawa dengan sentimen yang sama.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi malam tadi
memaklumkan, parti itu akan mengadakan mesyuarat MT khas pada jam 11 pagi ini
bagi membincangkan pengampunan tersebut.
Susulan itu , kata beliau, Kolokium Kongres
Ekonomi Bumiputera membabitkan 2,000 pimpinan UMNO dari 191 bahagian daripada
seluruh negara yang sepatutnya diadakan hari ini akan dibatalkan.
Untuk apa tindakan sedrastik ini diambil oleh
UMNO?
Mereka mahu protes kepada siapa tentang
keputusan Lembaga Pengampunan itu?
Tidakkah mereka sedar Lembaga Pengampunan WP
dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Agong dan sebarang keputusan berkaitan
pengampunan adalah budi bicara baginda?
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sendiri
berkata, proses pengampunan adalah di luar hak prerogatif Perdana Menteri dan
kerajaan.
Bahkan Perdana Menteri juga bukan anggota
Lembaga Pengampunan WP itu.
Ertinya, kuasa pengampunan, sama ada penuh
atau separuh, adalah hak Agong memutuskannya sebagaimana di negeri-negeri lain,
ia juga menjadi hak Sultan atau Raja di di negeri berkenaan membuat keputusan.
Ketika keputusan pengampunan Najib dibuat,
lembaga itu dipengerusikan oleh Agong daripada Pahang iaitu Al-Sultan Abdullah
Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tetapi kini ia dipengerusikan Agong baru,
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bermula 31 Januari lalu.
Jadi, yang UMNO bising-bising tak puas hati
dan mengecam keputusan Lembaga Pengampunan itu, mereka nak tuju kepada siapa?
Cuba cakap terang-terang, nak tuju kepada
Agong lama atau Agong baru?
Janganlah anggap Lembaga Pengampunan yang
dipengerusikan Agong/Sultan itu macam Lembaga Disiplin UMNO yang keputusannya
boleh dipertikai dan diperlekehkan sesuka hati.
Kalau selama ini UMNO melalak kata parti itu
sentiasa mempertahankan institusi Raja, menghormati keputusan Lembaga
Pengampunan adalah sebahagian daripada sifat itu.
Lagi pun, Najib sepatutnya banyak-banyak
bersyukur dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang memberikannya pengampunan
separuh itu.
Tiada banduan lain pernah diberi nikmat itu di
mana hanya baru setahun lima bulan menjalani hukuman penjara daripada 12 tahun
yang dijatuhkan mahkamah, selain masih ada empat lagi kes yang belum selesai
berkaitan 1MDB, tetapi sudah mendapat pengurangan hukuman kepada enam tahun
penjara.
Cuba beritahu, siapa pernah mendapat nikmat
seperti ini selain Najib?
Selain itu, tidak pernah juga ada mana-mana
banduan yang didenda sebanyak RM210 juta, tetapi dikurangkan jumlahnya hanya
kepada RM50 juta iaitu pengurangan sebanyak 76 peratus hanya setelah setahun
lima bulan dijatuhkan hukuman.
Nikmat apa lagi yang hendak didustakan?
Bersyukurlah, walau berada di dalam penjara,
nikmat Tuhan itu tetap ada.
Tambahan lagi, seperti kata Anwar semalam,
kalau Najib masih tak puas hati, ruang merayu kepada Agong baru masih terbuka
buatnya.
“Sekarang Lembaga Pengampunan telah membuat
keputusan. Jika keputussn tidak memuaskan hati, dia masih mempunyai ruang untuk
merayu pada tahap berikutnya,” kata beliau.
Jadi, apa susah dan buat apa nak kalut tak
puas hati, kecam sana kecam sini – sedarlah – ini adalah hak serta kuasa Agong.
– ShahbudinHusin 03/02/2024.
5