SEDARLAH WAHAI PENYOKONG2 NAJIB, LEMBAGA PENGAMPUNAN BUKAN MACAM LEMBAGA DISIPLIN UMNO!! Shahbudin Husin

 

Terdapat kecenderungan yang ketara, malah semacam berlebih-lebihan di kalangan para penyokong Najib Razak dalam menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Lembaga Pengampunan WP berkaitan bekas Perdana Menteri itu.

Selain beberapa pemimpin UMNO yang pro Najib memberi kenyataan terbuka yang tidak senang dan mengecam pengampunan separuh itu, UMNO sendiri turut terbawa-bawa dengan sentimen yang sama.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi malam tadi memaklumkan, parti itu akan mengadakan mesyuarat MT khas pada jam 11 pagi ini bagi membincangkan pengampunan tersebut.

Susulan itu , kata beliau, Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera membabitkan 2,000 pimpinan UMNO dari 191 bahagian daripada seluruh negara yang sepatutnya diadakan hari ini akan dibatalkan.

Untuk apa tindakan sedrastik ini diambil oleh UMNO?

Mereka mahu protes kepada siapa tentang keputusan Lembaga Pengampunan itu?

Tidakkah mereka sedar Lembaga Pengampunan WP dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Agong dan sebarang keputusan berkaitan pengampunan adalah budi bicara baginda?

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sendiri berkata, proses pengampunan adalah di luar hak prerogatif Perdana Menteri dan kerajaan.

Bahkan Perdana Menteri juga bukan anggota Lembaga Pengampunan WP itu.

Ertinya, kuasa pengampunan, sama ada penuh atau separuh, adalah hak Agong memutuskannya sebagaimana di negeri-negeri lain, ia juga menjadi hak Sultan atau Raja di di negeri berkenaan membuat keputusan.

Ketika keputusan pengampunan Najib dibuat, lembaga itu dipengerusikan oleh Agong daripada Pahang iaitu Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tetapi kini ia dipengerusikan Agong baru, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bermula 31 Januari lalu.

Jadi, yang UMNO bising-bising tak puas hati dan mengecam keputusan Lembaga Pengampunan itu, mereka nak tuju kepada siapa?

Cuba cakap terang-terang, nak tuju kepada Agong lama atau Agong baru?

Janganlah anggap Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong/Sultan itu macam Lembaga Disiplin UMNO yang keputusannya boleh dipertikai dan diperlekehkan sesuka hati.

Kalau selama ini UMNO melalak kata parti itu sentiasa mempertahankan institusi Raja, menghormati keputusan Lembaga Pengampunan adalah sebahagian daripada sifat itu.

Lagi pun, Najib sepatutnya banyak-banyak bersyukur dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang memberikannya pengampunan separuh itu.

Tiada banduan lain pernah diberi nikmat itu di mana hanya baru setahun lima bulan menjalani hukuman penjara daripada 12 tahun yang dijatuhkan mahkamah, selain masih ada empat lagi kes yang belum selesai berkaitan 1MDB, tetapi sudah mendapat pengurangan hukuman kepada enam tahun penjara.

Cuba beritahu, siapa pernah mendapat nikmat seperti ini selain Najib?

Selain itu, tidak pernah juga ada mana-mana banduan yang didenda sebanyak RM210 juta, tetapi dikurangkan jumlahnya hanya kepada RM50 juta iaitu pengurangan sebanyak 76 peratus hanya setelah setahun lima bulan dijatuhkan hukuman.

Nikmat apa lagi yang hendak didustakan?

Bersyukurlah, walau berada di dalam penjara, nikmat Tuhan itu tetap ada.

Tambahan lagi, seperti kata Anwar semalam, kalau Najib masih tak puas hati, ruang merayu kepada Agong baru masih terbuka buatnya.

“Sekarang Lembaga Pengampunan telah membuat keputusan. Jika keputussn tidak memuaskan hati, dia masih mempunyai ruang untuk merayu pada tahap berikutnya,” kata beliau.

Jadi, apa susah dan buat apa nak kalut tak puas hati, kecam sana kecam sini – sedarlah – ini adalah hak serta kuasa Agong. – ShahbudinHusin 03/02/2024.

5